Gambaran Utusan Malaysia bahawa PAS akan mengambil
semula kerudi Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang ‘dipinjamkan'
kepada PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah salah.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan menafikan beliau
memberi gambaran itu dan kenyataan yang dibuatnya telah dipetik dalam konteks
yang salah.
Salah petik atau salah lapor? Menulis berasaskan
penilaian sendiri?
Utusan Malaysia diuji sekali lagi dalam laporan mengenai
perkara ini.
Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau sendiri tidak
tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh
Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di
Kedah hujung bulan depan.
“Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya
dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks
yang salah.
“Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul
putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja
usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi.
“Lalu dia tanya, apakah PAS Kelantan akan buat keputusan
untuk memutuskan hubungan dengan PKR? Saya kata (persoalan sama ada hubungan
diteruskan atau tidak) tertakluk dengan keputusan di peringkat pusat,” katanya
kepada Malaysiakini.
Utusan Malaysia hari ini ini melaporkan PAS Kelantan akan mengambil kembali kerusi parlimen
dan DUN yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada
PRU13 selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan
kedua-dua parti yang semakin retak.
Akhbar itu juga memetik Che Abdullah sebagai berkata,
perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan
Harapan (HARAPAN) yang dianggotai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.
Kata Che Abdullah, beliau turut ditanya wartawan akhbar
berkenaan sama ada PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya
dipersetujui dalam muktamar nanti dan mengambil kembali kerusi PKR di negeri
itu.
“Lalu dia (wartawan) tanya, kalau pusat dah buat
keputusan putuskan tahaluf siyasi dengan PKR, adakah PAS akan ambil kerusi itu,
dan saya kata, mestilah. Kita akan ambil tindakan selaras dengan keputusan yang
dibuat diperingkat pusat.
“Soalan dia mari (datang) awal (dan bersifat spekulasi)
sama ada PAS dan PKR akan berpecah. Kalau pecah, memanglah PAS akan bertanding
di kerusi PKR bertanding.
Saya dah sebut dari awal, belum tahu lagi (keputusan
sebenar sebab) PAS pusat yang akan buat keputusan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pertanian,
Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata PAS akan
terus menjalinkan kerjasama dengan PKR sehingga ia diputuskan dalam muktamar
tahunan PAS atau keputusan di peringkat Pusat.
“Sekarang belum ada keputusan. Dalam muktamar akan
bincang panjang lebar tapi belum ada keputusan. Kita masih teruskan hubungan
dengan PKR sehingga ada keputusan lain,” katanya.
Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR
bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di
peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil
dan Nenggiri.
Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR
iaitu DUN Guchil.
No comments:
Post a Comment