Abdul Fattah...Berehat dan menunaikan solat |
Apa yang berserabut di kepala bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim?
Pengumumannya yang akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan
negeri Kelantan hanya akan menyemarakkan ‘permusuhan dalam’ pembangkang.
Memang PAS dan DAP berada dalam ruang yang berlainan
dalam kelompok pembangkang, namun tindakan Zaid akan menjejaskan persefahaman
dan perkiraan politik dalam berdepan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Zaid pastinya akan menyebabkan PAS Kelantan marah dengan
bantahannya di atas arahan kepada peniaga pasar malam supaya menghentikan
perniagaan ketika solat Maghrib.
Apa yang sedang dilakukan Zaid ada kesan buruk terhadap
persefahaman pembangkang, apalagi dalam menjamin Barisan Nasional (BN)
ditewaskan di Kelantan.
"Saya akan memfailkan saman terhadap kerajaan
Kelantan minggu ini.
"Arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan
perniagaan ketika solat Maghrib adalah tidak sah.
"Keputusan untuk melarang peniaga untuk tidak
membuka kedai sebelum jam 3 petang pada bulan Ramadan juga adalah menyalahi
undang-undang," katanya dalam satu siri tweet di laman mikro-blog Twitter.
Zaid menyifatkan kepimpinan kerajaan Kelantan sebagai
"tidak bertanggungjawab".
"Kebanyakan polisi mereka tidak mempunyai asas dalam
undang-undang. Mereka hanya mengambil kesempatan daripada umat Islam
yang takut dilabelkan sebagai jahil," katanya.
Zaid yang kini menganggotai parti DAP berkata, beliau
juga tidak gentar dengan tindak balas yang mungkin diterimanya berikutan
cabaran undang-undang itu.
"Biar Allah tentukan jika saya jahil. Bukan ulama
separuh masak yang mencari kedudukan politik di Kelantan," katanya.
Semalam, bekas exco Kelantan Datuk Musa turut mempersoalkan
langkah kerajaan negeri untuk mengenakan larangan berniaga ke atas peniaga
bukan Islam pada waktu Maghrib.
Kata Husam yang kini adalah naib presiden Parti Amanah
Negara., arahan berkenaan sepatutnya terhad kepada peniaga Muslim sahaja kerana
peniaga bukan Islam tidak menunaikan solat Maghrib.
Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah
Mahmood, semalam dilaporkan berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak
termasuk pembeli boleh menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan kegiatan
masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan,
Belia dan Sukan itu berkata, arahan berkenaan juga untuk memberi masa kepada
para peniaga berehat dan menunaikan solat.
Dasar tersebut telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran
Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri
itu, tahun lalu.
Kata Abdul Fattah, peniaga yang ingkar akan diberikan
amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus
berdegil.
Dengan menghentam kerajaan PAS berterusan bersama AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat turut bergerak untuk menyekat kemaraan BN semakin tersepit.
Strategi Zaid silap atau beliau sengaja membuka jalan untuk BN menang di Kelantan?