Thursday, October 21, 2010

30,000 HEKTAR TANAH RAKYAT DIRAMPAS OLEH PAS

Penduduk Orang Asli menunjukkan tanah yang mereka usaha selama ini dirampas kerajaan negeri dan diserah kepada syarikat swasta luar Kelantan untuk ladang rakyat.

Sokongan terhadap PAS diibaratkan 'menang sorak kampung tergadai', apabila ada kepemimpinan parti itu semakin rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu.

Malah, janji Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, untuk membenarkan rakyat meneroka tanah kerajaan bagi tujuan pertanian ketika mula memegang tampuk pemerintahan pada 1990 kerana menganggap tanah itu tanah Tuhan, kini semakin dilupakan.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata mengikut laporan diterima setakat ini, sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian.

Beliau mendakwa, kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan.

“Kalau nak diikutkan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar.

“Faktor rampas tanah itu memberi tekanan hebat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata rakyat mula memihak kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana tidak tahan kerenah pemimpin PAS yang mempunyai kepentingan diri terutama membabitkan pengambilan tanah.

Beliau berkata, boleh dikatakan kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk.

“Kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun,” katanya.

“Apa yang kita khuatir, sejak kebelakangan ini banyak kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan penduduk termasuk perkampungan Orang Asli tercemar kerana kegiatan pembukaan tanah hutan serta pembalakan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, masalah utama ialah membabitkan penduduk Orang Asli kerana mereka bukan saja dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar.

“Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” katanya.

PEMBELIAN BANGUNAN UMNO KB - KEMENANGAN MORAL BAGI PAS?

Seronok sangat dapt beli Bangunan UMNO daripada Zaid.

Dewan Pemuda Pas Kelantan menjelaskan wang sebanyak RM4.5 juta yang digunakan untuk membeli Bangunan UMNO Kota Bharu daripada Datuk Zaid Ibrahim adalah hasil kutipan dana yang dilakukan sejak 10 tahun lalu di samping pinjaman bank.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kutipan dana untuk memiliki bangunan tersebut dilakukan sejak Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menerajui kepemimpinan dewan tersebut dan ia diteruskan secara konsisten sehingga sekarang.

Beliau berkata, pemilikan bangunan tersebut juga merupakan satu kemenangan moral kepada Pas apabila berjaya menawan bangunan UMNO selepas genap 20 tahun memerintah Kelantan hari ini.

"Tiga sebab kita membeli bangunan ini, pertama, lokasinya yang strategik, kedua, tawaran yang baik diberikan oleh Zaid dan ketiga, menawan bangunan UMNO adalah kemenangan moral yang besar kepada jentera Pas.

"Proses pembelian bangunan ini bermula sejak setahun lalu selepas Zaid menawarkannya kepada kami, kita juga terpaksa naik turun mahkamah beberapa kali bagi menyelesaikan masalah perundangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Asy Syabab Point di Kota Bharu semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sebagai simbolik, Nik Abdul Aziz telah menaikkan bendera parti tersebut di hadapan bangunan yang baharu saja 'ditawan' daripada parti lawan itu.

Utusan Malaysia, semalam melaporkan Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Pembangkang telah menjual bangunan UMNO Kota Bharu kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan dan majlis menandatangani perjanjian tersebut dilakukan di sebuah hotel di Gua Musang semalam.

April lalu, lebih 100 ahli UMNO bahagian tersebut berhimpun secara aman di Jalan Sultanah Zainab di sini bagi membantah sikap Zaid yang cuba menjual bangunan milik parti itu dengan harga berjuta ringgit.

Kesemua ahli terbabit membidas Zaid yang dikatakan bersikap tidak amanah dan melanggar perjanjian apabila premis parti bertukar menjadi miliknya.

Malah sebelum ini Setiausaha UMNO bahagian tersebut, Zulkifli Abd. Ghani telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu terhadap Zaid yang didakwa telah mengambil-alih sebuah syarikat milik parti tersebut, Umbak Baru Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik tanah bangunan itu pada Februari lalu.

PIALA MALAYSIA - KELEBIHAN KEPADA KELANTAN, JOHOR FC

Shukor Adan (kanan) gagal menyempurnakan peluang meskipun penjaga gol Johor FC, Anis Faron (tertiarap) sudah tertewas.

Kedah sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan, namun yang menjadi tumpuan ialah penahanan 10 penyokong Kedah oleh pihak polis selepas dikesan cuba membawa masuk mercun, bunga api, baton spring dan air ketum.

Tindakan pantas pihak polis itu telah menggagalkan hasrat penyokong yang tidak berdisiplin itu untuk mengadakan ‘pesta mercun’ sepanjang perlawanan tersebut di Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah .

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, tetapi keputusan perlawanan malam tadi bakal menyukarkan tugas skuad Kenari yang akan bertandang ke Kota Bharu, Sabtu ini.

Kelantan boleh mengukir senyuman kerana mereka telah membuktikan kekebalan di halaman sendiri setakat ini.

Johor FC yang mendapat jolokan Lebah, mengganas di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan.

Kemenangan tersebut sekurang-kurangnya melegakan skuad bimbingan Azuan Zain itu yang akan beraksi di gelanggang sendiri pada aksi kedua, Sabtu ini.

Kemenangan Johor FC itu diperoleh menerusi jaringan pemain gantian, Mohd. Ezaidy Khadar yang menyambar bijak kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-88.

Kemenangan tersebut boleh dianggap selesa buat Sang Lebah yang telah mempamerkan corak permainan konsisten sejak dari peringkat kumpulan lagi.

Bagi Negeri Sembilan, kekalahan pada perlawanan ini agak menyukarkan misi mereka untuk mempertahankan Piala Malaysia yang mereka menangi tahun lalu dan yang pasti, mereka harus menyalahkan jentera serangan yang gagal menfaatkan beberapa peluang yang diperoleh sepanjang perlawanan tersebut.