Thursday, September 29, 2016

Perangi Najis Dadah – Jangan Ingat Politik Sahaja Yang Penting...

Abdul Rahman  (tengah) menunjukkan bungkusan pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan berasingan kepada media 25 September lalu.
Isu dadah di Kelantan bukan perkara kecil.

Jika isu air dijadikan tajuk utama di media, keberanian politik juga diperlukan untuk membanteras gejala dadah di negeri ‘Serambi Mekah’ itu.

Tidak kiralah apa isu yang diungkitkan ketika ini, sama ada ‘Durian Kunyit’, Restorasi, Gelek Punggung atau ancaman AMANAH kepada PAS tetapi gejala ancaman dadah kepada masyarakat ini sangat penting dititikberatkan.

Ia perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, khususnya orang politik dan perlu ada kesungguhan politik untuk membanterasnya.

Pemimpin politik sama ada daripada UMNO, PAS, PKR atau AMANAH di Kelantan jangan ‘buat bodoh’ dan melihatnya sebagai  tidak penting.

Ini kerana ancaman gejala ini membabitkan generasi muda yang sangat menakutkan.

Pertengahan Februari lalu, ada laporan media menyebut kejadian ketagihan dadah berlaku seawal usia 12 tahun di negeri itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menyatakan kebimbangannua dengan peningkatan bilangan penagih dadah melibatkan golongan remaja yang berusia antara 13 dan 19 tahun.    

Apakah amaran oleh KDN dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin mengenai gejala dadah di Kelantan diambil perhatian berat?


Malah AADK turut mendapati bilangan wanita yang terjebak dengan gejala dadah di Kelantan juga semakin meningkat.

Sehingga Februari lalu,  seramai 55 penagih wanita direkod tahun lepas berbanding 44 orang pada 2014.

Sudah pasti ini satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang tidak boleh dibiarkan merebak kepada golongan berkenaan.

Sehingga Februari lalu jumlah keseluruhan kes penyalahgunaan dadah yang sedang menjalani pengawasan adalah seramai 3,656 orang.     

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,726 orang (74.6 peratus) merupakan penagih baharu manakala 930 orang adalah penagih berulang (25.4 peratus).

Daripada jumlah tersebut juga, seramai 2,685 orang menggunakan dadah jenis pil kuda diikuti morfin seramai 231 orang dan heroin sebanyak 79 orang manakala dari segi jantina, 98.3 peratus adalah lelaki dan 1.7 peratus wanita.     

Apa faktor sekalipun, peningkatan penagih dadah di negeri itu membuktikan kemiskinan tegar dan masalah dalam pembelajaran kini mengancam golongan muda.

 Kes menimpa warga emas, Mek Som Mat Diah, 89, yang putus di bahagian pergelangan kaki akibat dikerat penagih dadah merupakan satu peringatan kepada semua pihak bahawa kes dadah amat serius di Kelantan.
Berikutan pendedahan itu, pada 15 Mac 2016, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melakukan operasi secara besar-besaran membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di Kelantan tahun ini.

Malah dikenal pasti bahawa pil kuda (Methamphetamine) adalah paling banyak digunakan di negeri ini iaitu hampir 80 peratus berbanding dadah jenis lain. Ini kerana ia mudah didapati daripada aktiviti penyeludupan melalui sempadan Malaysia-Thailand selain harganya yang murah.
    
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa yang lain akan digerakkan dalam operasi secara bersepadu dan lebih terancang.

Tahun  lalu,  AADK melaksanakan 374 operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain dan sebanyak 4,270 ujian saringan dilakukan ke atas 4,270 orang yang disyaki penagih dadah dan 1,157 orang didapati positif dadah.

Pengumuman oleh Polis Kelantan baru-baru ini untuk melaksanakan pendekatan lebih agresif bagi memerangi dadah di seluruh negeri ini terma­suk melaksanakan operasi ‘kampung ke kampung’ bagi mengesan aktiviti pengedaran dadah sewajarnya disambut dengan kerjasama sepenuhnya.


Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail, tumpuan akan diberi terhadap kira-kira 1,000 kampung di sekitar daerah ini, Pasir Mas dan Bachok yang dikenal pasti sebagai ‘kawasan hitam’.

“Kita akan gembleng tenaga dengan penduduk seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk bantu kesan aktiviti ini. Kita mahu penduduk sendiri terlibat sama dalam usaha membersihkan kampung masing-masing.

“Kalau masalah dadah terus menjadi-jadi di negeri ini, kita rancang mahu lakukan operasi rumah ke rumah pula,” katanya.

Dr Abdulk Rahman memberi amaran bahawa Polis Kelantan  betul-betul serius mahu menangani kes dadah di negeri itu.

Ini dibuktikan apabila laporan Utusan Malaysia apabila pada 25 September lepas, Polis Kelantan merampas 62,000 biji pil kuda bernilai RM1.24 juta serta menahan seorang lelaki sele­pas menyerbu dua buah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat pada Khamis 22 September.

Polis menahan suspek yang berusia 24 tahun ketika dia berada dalam kereta berhampiran rumahnya. Ha­sil pemeriksaan pihaknya menemukan 6,000 pil kuda dianggarkan berjumlah RM120,000 di dalam sebuah beg kain jeans berwarna biru di atas kerusi bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

Lelaki itu kemudian membawa anggota polis ke sebuah rumah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari tempat dia diberkas dan membawa kepada penemuan satu bekas plastik merah mengandungi sembilan bungkusan berwarna kuning me­ngandungi 56,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1.12 juta.

Suspek mempunyai rekod jenayah berkait dengan kes rogol pada 2011 dan merupakan penganggur. Dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya.

Amat nyata dengan kedudukan pengambilan dan pengedaran dadah yang begitu membimbangkan di Kelantan ketika ini memerlukan pemimpin politik, kerajaan nigari dan juga pihak berkuasa tempatan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada usaha Polis Kelantan.

Dengan kata lain, jangan anggap isu politik sahaja yang penting.

Masa hadapan generasi muda perlu diberikan perhatian mendalam. Mereka adalah penggerak kepemimpinan, pentadbiran dan ekonomi masa hadapan Kelantan.

Monday, September 26, 2016

Durian Kunyit: Saya Berniat Jahat Atau Jawapan Balas Niat Berbohong, Soal Husam


Selepas dituduh berniat jahat kerana mendedahkan projek penanaman Durian Kunyit di hutan simpan kekal, AADUN AMANAH Salor, Datuk Husam Musa membuat penjelasan balas dengan mengemukakan bukti-bukti berdokumen untuk menpertahankan dakwaannya.

"Saya mengajak Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016," katanya..(sila baca kenyataan penuh Husam di sebelah kiri, bertajuk 'DURIAN KUNYIT DAN HUTAN SIMPAN KEKAL NEGERI KELANTAN).

Ali Omar,pemilik Syarikat Gunong Basor Enterprise
Kata Husam, kepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining itu katanya, berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

"Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

"Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor Enterprise  tidak diambil kira.

"Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bahkan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

"Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

"Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?" soal Datuk Husam.

Memang benar katanya, durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

"Namun, seingat saya, durian tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walaupun ia adalah spesis hutan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza.

"Apa lagi Durian Kunyit," katanya.

Sebab itu kata beliau, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai.

"Getah yang disenaraikan adalah Timber Latex Clon.

"Perkataan "timber" itu sendiri membezakannya dari getah biasa," katanya.

Menurutnya, Durian Kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil.

"Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu.

"Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya," katanya.

Ladang durian kunyit katanya, sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

"Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

"Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal," katanya.

Thursday, September 22, 2016

Larang Kakitangan Sertai Parti Baharu - Mari Ikut Langkah Kerajaan PAS Kelantan


Semua negeri di Malaysia sewajarnya mengambil contoh Kerajaan PAS Kelantan yang melarang kakitangan atau penjawat awamnya menyertai parti lain, selain daripada parti yang memerintah.

Cara ini hendaklah dijadikan syarat pelantikan, kenaikan pangkat dan pengekalan bagi setiap penjawat awam yang dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan negeri-negeri.

Peraturan dan klausa khusus juga perlu diwujudkan sebagai suatu perjanjian dan perintah yang tidak boleh dicabar kesahihan dan penguatkuasaannya.

Melalui cara itu, sesebuah pemerintah atau kerajaan akan lebih terjamin kekal selagi penjawat awam yang ada terus berkhidmat atau dengan kata lain selagi seseorang itu tidak mati atau bersara.

Jika ada skim pencen, sokongan kepada parti hendaklah diteruskan kalau mahu terus menerima pencen.

Sebelum ini sepucuk surat pekeliling bertarikh 9 September 2015 tersebar di media sosial yang mengarahkan tujuh jawatan pengarah dalam kerajaan negeri menyemak mana-mana kakitangan yang menyertai parti baru.

Gesaan itu ditujukan kepada Pengarah Pusat Kajian Strategik, Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan.

Selain itu ia turut dihantar kepada Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Pengarah Urusetia Penghulu dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato Bentara Setia.

Husam sertai AMANAH
Surat berkenaan sebelum ini dipercayai merujuk kepada parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan September tahun lalu.

AMANAH ditubuhkan selepas sebahagian pemimpin PAS tidak berpuashati dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terbaru, ADUN Salor yang juga bekas EXCO kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa turut menyertai AMANAH.

Laporan Malaysiakini 15 September lalu, menyebut  Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan kerajaan PAS Kelantan mengeluarkan pekeliling bagi melarang kakitangan kerajaan negeri menyertai parti baru kerana bercanggah dasar sedia ada.

Semakan itu dikeluarkan memandangkan jawatan kakitangan berkenaan merupakan lantikan politik dan bukan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Itu surat lama, surat itu asli. Arahan itu dari kita orang. (Dah buat semakan) tak ada kakitangan yang masuk parti baru, mereka laporkan tidak ada.

“Kita cuma nak periksa, kerja dengan kerajaan mestilah ikut kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Wan Roslan berkata, hasil semakan mendapati tidak ada kakitangan jabatan berkenaan yang menyertai parti baru yang ditubuhkan di negeri itu.

Sekiranya pihaknya mendapati terdapat kakitangan tersebut menyertai parti baru, tindakan selanjutnya akan dibincangkan kelak.

“Jangan keliru. Kita buat semakan mana-mana kakitangan itu sebab nak dapatkan maklum balas…keputusan yang kita terima tak ada kakitangan yang masuk parti baru. Kalau ada yang sertai kita akan bincanglah,” katanya.

Wan Roslan kesal dengan penyebaran surat tersebut dan menyifatkannya mempunyai niat tidak baik.

“Itulah, mereka ada niat tak baik. (tapi) itu cerita lama. Saya tak nak cari (pihak sebarkan) nak buat apa.

Azih patut desak Putrajaya ikut Kerajaan PAS Kelantan
Mereka kena bertanggungjawab dengan Allah taala, mereka berniat tak baik. Kalau niat baik, mereka akan tanya kita baik-baik,” katanya.


Berasaskan kedudukan yang diamalkan oleh Kelantan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia juga patut memperkenalkan cara atau strategi yang sama.

Melalui cara ini dengan kedudukan penjawat awam seramai lebih hampir dua juta (termasuk mereka yang sudah pencen) mungkin boleh mengekalkan kerajaan Barisan Nasional dengan mudah.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda yang selalu dok minta naik gaji, duit raya, bonus dan sebagainya boleh lihat kepada pelaksanaan seperti oleh kerajaan PAS Kelantan ini.

Ini kerana jika dilaksanakan di peringkat persekutuan, ia menjadi sumbangan besar Cuepacs dan Azis sendiri kepada negara.

Bukan begitu?