Monday, September 26, 2016

Durian Kunyit: Saya Berniat Jahat Atau Jawapan Balas Niat Berbohong, Soal Husam


Selepas dituduh berniat jahat kerana mendedahkan projek penanaman Durian Kunyit di hutan simpan kekal, AADUN AMANAH Salor, Datuk Husam Musa membuat penjelasan balas dengan mengemukakan bukti-bukti berdokumen untuk menpertahankan dakwaannya.

"Saya mengajak Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016," katanya..(sila baca kenyataan penuh Husam di sebelah kiri, bertajuk 'DURIAN KUNYIT DAN HUTAN SIMPAN KEKAL NEGERI KELANTAN).

Ali Omar,pemilik Syarikat Gunong Basor Enterprise
Kata Husam, kepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining itu katanya, berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

"Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

"Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor Enterprise  tidak diambil kira.

"Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bahkan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

"Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

"Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?" soal Datuk Husam.

Memang benar katanya, durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

"Namun, seingat saya, durian tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walaupun ia adalah spesis hutan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza.

"Apa lagi Durian Kunyit," katanya.

Sebab itu kata beliau, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai.

"Getah yang disenaraikan adalah Timber Latex Clon.

"Perkataan "timber" itu sendiri membezakannya dari getah biasa," katanya.

Menurutnya, Durian Kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil.

"Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu.

"Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya," katanya.

Ladang durian kunyit katanya, sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

"Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

"Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal," katanya.

No comments: