Menurut laporan Utusan Malaysia Online semalam, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut.
Ia berikutan tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.
Ikmal Hisham dikatakan mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan yang mencalonkannya dan yakin dengan kebolehannya untuk memimpin serta membawa perubahan kepada parti di bahagian tersebut.
"Saya bersyukur kerana mesyuarat cawangan ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang masalah walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh sebelum ini," katanya.
Pada mesyuarat cawangan-cawangan yang berakhir semalam, Utusan Malaysia Online melaporkan Ikmal mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).
Bagi jawatan timbalan ketua, ia akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara seorang tokoh agama, Baharudin Yusof yang mendapat 53 pencalonan dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan (50) manakala dua lagi individu iaitu Supardi dan ahli jawatankuasa bahagian, Moktar Bahari tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.
Dalam pada itu, seorang guru, Bakri @ Mohd. Bakri Mustapa turut menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua selepas mendapat 82 pencalonan selepas empat lagi pencabarnya tidak layak untuk bertanding.
Sementara itu jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Mohd. Almidi Jaafar diumumkan menang tanpa bertanding selepas tiada pencabar.
Ketua Wanita bahagian tersebut, Datin Shuhanie Deraman akan dicabar oleh Dayang Saniah Awang. Shuhanie memperoleh 21 pencalonan manakala Dayang Saniah 83 pencalonan dari cawangan.
Bagi jawatan naib ketua wanita, Pengerusi Tetap Puteri UMNO, Rohani Abu Hassan mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.
Apa yang Kijang mendapat tahu, dalam pertandingan bagi Ketua Bahagian, yang mahu melawan Ikmal hanya Rosli kerana Nik Kemaruzaman dan Supardi sebenarnya sudah lama tawar hati dan menolak untuk dicalonkan kerana masalah yang melanda cawangan-cawangan.
Ini bermakna laporan bahawa kedua-dua mereka tidak mencukupi pencalonan tidak benar.
Difahamkan Nik Kemaruzaman menolak pencalonan dengan mengibaratkan sebagai ‘tiada gunanya memasuki gelanggang apabila referi sudah tidak berada di pihak yang tidak berat sebelah”.
Cawangan UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu.
Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat bermula pada Sabtu lalu dan berakhir semalam.
Kijang juga mendapat tahu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian akan membuat laporan polis di atas pengumuman itu kerana menjejaskan kredibiliti mereka yang tidak berhasrat untuk bertanding dan juga mereka yang berhasrat bertanding tetapi dikatakan tidak layak untuk bertanding kerana tidak cukup pencalonan.
Ini kerana Ikmal tidak seharusnya membuat pengumuman kerana menurut peraturan, pengumuman rasmi hanya boleh buat tujuh hari selepas semalam bagi member ruang untuk protes.
Selain itu pengumuman hendaklah dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.
“Bagaimana pengumuman dibuat sebelum tamat tempoh masa protes yang diberikan? Ia sewajarnya selepas 17 Oktober ini,” tanya seorang rakan yang menelefon Kijang.
Beliau juga kecewa dengan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan.
Bahagian Tanah Merah pada 7 Oktober lalu membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu.
Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan sejak Sabtu lalu hingga 8 Oktober 2008 dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob.
Pemangku ketuanya, Nik Kemruzaman Sulong, berkata sebelum ini bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.
No comments:
Post a Comment