Baca laporan berikut:
1. Hampir 800 bantahan dikemukakan oleh ahli UMNO di Kelantan mengenai perjalanan mesyuarat masing-masing;
2. Kira-kira 40 pemimpin akar umbi yang mewakili 23 cawangan Wanita Umno bahagian Pasir Mas menyerahkan memorandum bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan, berikutan pembatalan mesyuarat cawangan masing-masing;
3. Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah. Umno Bahagian Rantau Panjang mencatat aduan bantahan tertinggi iaitu 345 aduan, Kubang Kerian (169), Pengkalan Chepa (66), Kota Bharu (65) dan Pasir Puteh (61).
Apa dah jadi dengan perjalanan mesyuarat-mesyuarat bahagian sehingga adanya bantahan dan kekecohan sedemikian rupa?
Geger satu Malaysia dibuatnya!
Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan mengambil alih pengendalian persidangan tiga bahagian iaitu Rantau Panjang, Tanah Merah dan Pengkalan Chepa.
Ia berikutan masalah berbangkit dan bantahan yang dihadapi bahagian masing-masing.
Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan , Tan Sri Annuar Musa meminta semua ahli Umno dalam bahagian terbabit bertenang dan memberi kerjasama kepada Umno negeri menyelesaikan masalah itu selaras dengan arahan Ibu Pejabat Umno.
Annuar berkata, setakat ini Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau yang dibentuk Umno negeri menerima hampir 800 bantahan daripada ahli Umno berhubung perjalanan mesyuarat masing-masing.
"Semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini, kita akan menilai sebaik mungkin bantahan yang dikemukakan ahli Umno setiap peringkat," katanya.
Ini bermakna bagi bahagian lain yang tidak berdepan masalah, surat pengesahan sudah dikeluarkan untuk mereka menjalankan persidangan masing-masing pada tarikh yang sudah ditetapkan.
Kelmarin kira-kira 40 pemimpin akar umbi yang mewakili 23 cawangan Wanita Umno bahagian Pasir Mas menyerahkan memorandum bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan, berikutan pembatalan mesyuarat cawangan masing-masing.
Wakil mereka yang juga Ketua Wanita Umno cawangan Limbat Barat, Che Jah Awang Kechik, berkata mereka menuntut penjelasan Badan Perhubungan Umno Negeri terhadap keputusan pembatalan mesyuarat.
"Pembatalan ini kali pertama berlaku sejak memegang jawatan ini lebih 12 tahun dan kami mahukan alasan tindakan badan perhubungan mengisytiharkan mesyuarat cawangan kami tidak sah, sedangkan ia melalui proses ditetapkan.
"Setiausaha Umno Pasir Mas berjanji menyelesaikan perkara ini sebelum Isnin lalu, namun sehingga kini, kami tidak mendapat sebarang tindak balas daripadanya," katanya.
Che Jah yang mewakili kumpulan terbabit memberitahu pemberita demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mirza Askary Abdul Wahab.
Menerusi memorandum itu, mereka menuntut Umno negeri mengkaji semula keputusan itu demi menjaga keharmonian dan kekuatan parti.
Pembatalan mesyuarat dipercayai juga ada kaitan dengan keputusan 23 cawangan terbabit mencalonkan bekas bendahari Wanita bahagian Pasir Mas, Wan Dalilah Wan Mohamed, bertanding ketua wanita bahagian.
Ketua Wanita Umno cawangan Jejulok, Minah Yahya, berkata seluruh ahli pergerakan dalam cawangan itu terkejut apabila mesyuarat mereka diisytiharkan tidak sah.
"Kami amat duka cita dan terkejut dengan perkara ini selepas menjalankan mesyuarat mengikut perlembagaan parti dan pihak pemantau juga sudah berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, kami mahukan demokrasi dalam pemilihan pemimpin parti," katanya.
Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang pula kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.
Suasana kecoh itu bermula jam 9.30 pagi apabila mesyuarat berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kiambang.
Berikutan ia berlarutan selama sejam, Polis Daerah Pasir Mas terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Anti-Rusuhan untuk mententeramkan keadaan.
Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat, Nordin Ibrahim mengumumkan 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi.
Sejurus selepas pengumuman itu, seorang wakil dari kumpulan membantah yang juga Ketua Cawangan Umno Taman Seri, mendakwa jumlah perwakilan berkenaan tidak sah kerana kemungkinan wujudnya anggota hantu.
Beliau yang dikenali sebagai Suhaimi Che Hussin juga mendakwa jumlah berkenaan mungkin tidak betul memandangkan masih ada bantahan terhadap mesyuarat cawangan yang belum selesai seperti Cawangan Tepi Sungai.
Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affendi Yusof cuba mententeramkan keadaan dengan menjelaskan perkara berkenaan tidak seharusnya timbul kerana jumlah perwakilan itu telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantau Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Affendi berkata kekecohan berkenaan sudah dijangka memandangkan beliau sendiri sudah maklum dengan perancangan dan strategi yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengganggu mesyuarat.
Ketua Umno Bahagian, Abdullah Mat Yasin ketika ditemui menyifatkan kekecohan berkenaan hanya kerana salah faham memandangkan ada anggota yang tidak tahu cawangan mereka bertukar perwakilan.
No comments:
Post a Comment