Oleh Baharom Mahusin
(Utusan Malaysia, 24 November)
LIMA 23 Nov. – Krisis kewangan global yang berlaku sekarang menunjukkan komuniti ekonomi dunia telah tersilap langkah kerana tidak menerima cadangan Malaysia sejak 10 tahun lalu untuk membuat pembaharuan kepada struktur sistem kewangan yang dikawal selia oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi-institusi Bretton Woods lain.
Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas hari pertama sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memberitahu perbincangan para pemimpin APEC itu bahawa kawal selia sistem kewangan dunia kali ini, seperti juga yang diperlihatkan dalam krisis kewangan Asia 1997-1998, telah gagal mengesan “lebihan belanja yang keterlaluan dalam sistem kewangan antarabangsa.”
Katanya, hakikat bahawa kegawatan tersebut berulang lagi dalam skala dan impak yang lebih besar hingga mengakibatkan negara-negara dunia terjebak dalam kemelesetan menunjukkan “pemikiran lama IMF sudah tidak sah lagi.”
Mengulangi gesaannya supaya wujud respons yang boleh membawa kepada pembaharuan dalam arkitektur kewangan bagi mencipta Bretton Woods 2, Najib yakin kesedaran telah muncul di kalangan negara-negara maju, misalnya seperti ketetapan mengenai isu keberkesanan sistem Bretton Woods yang dimasukkan dalam Deklarasi Washington Kumpulan 20 (G-20) baru-baru ini dan dicerminkan juga dalam kenyataan para pemimpin APEC pada sidang kemuncak di sini.
“Sekarang ini ekonomi mereka yang kena, jadi mereka sedar bahawa mereka sebenarnya telah tersilap langkah.
“Sekarang ini mereka sedar penyusunan semula kepada struktur kewangan dunia perlu dilakukan. Pembaharuan struktur kewangan ini perlu diambil kira sekiranya kita hendak membendung kemungkinan perkara seperti ini berulang lagi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangaan berkata, kegagalan sistem kewangan sedia ada mengawal gejala seperti pinjaman berlebihan, masalah urus niaga produk derivatif baru khususnya Credit Default Swap (CDS) dan masalah pasaran gadai janji subprima yang tidak dikawal dengan rapi merupakan punca tercetusnya krisis kewangan dunia yang dihadapi sekarang.
Najib juga memberi satu lagi contoh kelemahan besar sistem Bretton Woods yang tidak mengawal CDS yang nilai transaksinya berjumlah beberapa trilion dolar Amerika.
“Tidak diketahui banyak mana yang sebenarnya yang telah diurus niaga setakat ini.
“Untuk mengelak perkara ini berlaku lagi, satu bentuk arkitektur kewangan baru perlu digubal untuk menentukan segala lebihan belanja daripada sistem ini dapat dipantau dan diambil tindakan dengan kawal selia yang lebih berkesan,” ujarnya.
Dalam pemukiman pemimpin-pemimpin APEC di Pusat Konvensyen Kementerian Pertahanan Peru di sini yang dikawal ketat, Najib duduk bersebelahan Presiden Mexico, Felipe Calderon Hinojosa dan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak.
Acara itu yang dipengerusikan oleh Presiden Peru, Alan Garcia Perez turut dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, Presiden China, Hu Jintao serta ketua negara dan kerajaan dari 21 buah negara anggota APEC. Malam tadi para pemimpin APEC itu diraikan dalam satu jamuan gala dan persembahan kebudayaan Peru.
Najib menjelaskan, sidang kemuncak APEC itu yang pertama kali disertainya berjalan dalam suasana yang terbuka dan positif dengan krisis kewangan dunia menjadi sesuatu yang menarik perhatian semua pemimpin pertubuhan serantau itu.
“Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjadikan APEC sebagai satu forum (berkesan) dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan nanti boleh menggambarkan kepimpinan APEC dalam soal menangani krisis kewangan global,” ujarnya.
Krisis kewangan global setakat ini menyebabkan pakej menyelamat AS$750 bilion terpaksa diumumkan di AS manakala banyak bank dan syarikat di AS dan Eropah terpaksa diambil alih oleh kerajaan.
“Asas krisis itu ialah kurang keyakinan terhadap sistem kewangan dunia. Apa yang berlaku sekarang boleh menyebabkan pihak yang mempunyai kemampuan pun tidak akan membuat sesuatu dan berasa bimbang untuk memberi pinjaman kepada pelanggan.
“Oleh itu, sidang kemuncak APEC ini mencadangkan rangsangan fiskal dilakukan secara terselaras antara negara-negara APEC dan bukan APEC,” jelas Najib.
Beliau menambah, beberapa negara APEC seperti China dan Malaysia telah mengumumkan pakej rangsangan fiskal masing-masing tetapi “kita mengambil langkah ini berdasarkan keputusan domestik.”
Menurut Najib, terdapat kebimbangan para pemimpin pertubuhan itu yang menyuarakan tiada satu ketetapan dibuat berdasarkan kepada apa yang diperlukan oleh ekonomi global untuk mengelakkan dunia tergelincir dalam kemelesetan.
Katanya: “Kalau ada satu perancangan yang lebih terselaras, maka suntikan daripada setiap negara APEC itu boleh dilihat dalam konteks menyelamatkan dunia daripada kemelesetan global.”
Para pemimpin pertubuhan yang mengamalkan dasar tidak terikat itu, kata Najib, bersetuju dengan saranan tersebut dan bersedia menyelaraskan pakej rangsangan fiskal anggota ekonomi masing-masing bagi menambah perbelanjaan selain meningkatkan kecairan dan pinjaman kepada para pengguna.
“Para pemimpin APEC telah memutuskan bahawa rangsangan fiskal dalam bentuk satu bajet pengembangan perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan dunia daripada terjerumus ke dalam kemelesetan,” katanya.
Najib juga berkata, apa yang menarik dalam sidang kemuncak itu ialah setiap pemimpin negara APEC yang bercakap, tiada seorang pun yang tidak menyentuh mengenai bahaya dasar perlindungan terhadap ekonomi dunia.
“Dalam menghadapi keadaan ini, apa yang perlu dilakukan adalah menentukan perdagangan dunia merupakan sistem yang bebas dan terbuka. Sehubungan itu sidang kemuncak ini juga menetapkan supaya segala usaha dilakukan bagi memastikan rundingan perdagangan bebas Pusingan Doha dapat dimuktamadkan pada bulan Disember,” katanya.
Rundingan Pusingan Doha yang dimulakan pada 2001 mencapai kebuntuan pada Julai lalu berikutan pertelagahan antara AS dan India berhubung perdagangan kapas.
No comments:
Post a Comment