Thursday, December 11, 2008

MALAYSIA TETAP PILIHAN PELABUR

Ada orang mengatakan ekonomi Malaysia menghadapi zaman suram kalau Barisan Nasional (BN) terus memenrintah.

Kijang mahu tunjukkan betapa pendapat sedemikian silap.

Kesatuan Eropah (EU) tetap percaya negara ini masih merupakan destinasi terbaik untuk melabur dan berdagang walaupun dunia dijangka mengalami kemelesetan pada tahun depan.

Duta Perancis ke negara ini, Marc Baretty berkata, ia disebabkan langkah Malaysia yang membuat persedian rapi bagi menghadapi kemelesetan dan kebolehan negara ini untuk menghadapinya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia diyakini oleh negara-negara EU dan masyarakat pedagang benua itu yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan negara ini disebabkan pendekatannya yang mesra pelabur.

"Banyak perkara perlu dilakukan di seluruh dunia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

"Tetapi Malaysia telah membuat persediaan terbaik untuk menghadapinya dan negara ini adalah tempat terbaik untuk melabur dan berdagang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat duta negara-negara EU ke atas kerajaan negeri di Kota Darulnaim di Kota Bharu semalam.

Delegasi tersebut disertai seramai 18 orang duta semalam. Perancis mengetuai negara-negara EU di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum ia digantikan oleh negara Eropah yang lain.

Utusan Malaysia memetik Baretty sebagai berkata, EU menjadi negara pengeksport utama Malaysia pada bulan Februari lalu, sekali gus mengatasi eksport Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama.

"Biarpun dalam siri lawatan ini kami tidak membincangkan mengenai ekonomi tetapi kami tetap akan melihat peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Kami memerlukan sebuah unit perancangan ekonomi dalam masa terdekat, baru isu ini akan dibincangkan.

"Negara Eropah adalah penyumbang utama eksport negara ini dan ia akan terus berkembang di masa akan datang," katanya.

Selain itu, sikap dedikasi dan kesetiaan yang tinggi terhadap kerjaya di kalangan pekerja tempatan telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat asing.

Ketua Pasaran bagi Malaysia dan Singapura, Towers Perrin, Michael Drawhorn berkata, faktor itu membantu para pekerja akan memiliki kadar motivasi, kreativiti dan pengetahuan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing.
Malah, kata Drawhorn, mereka sanggup meluangkan lebih masa untuk memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, kata beliau, ia dilihat sebagai penyumbang positif kepada operasi perniagaan dan keputusan kewangan syarikat berkenaan.

''Berdasarkan kepada faktor tersebut, pasaran Malaysia kini lebih kompetitif untuk menarik pelaburan terus asing," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Drawhorn berkata, keputusan itu diperoleh hasil kajian Tower Perrin Global Workforce Study 2007/2008 yang kini diedarkan kepada umum.

Kajian yang dimulakan pada akhir tahun lalu itu adalah projek penyelidikan pengurusan sumber manusia global terbesar yang membabitkan 90,000 responden dari 21 buah negara termasuk 800 kakitangan dari Malaysia yang meliputi pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, Drawhorn menerangkan bahawa, antara faktor yang menyebabkan pekerja tempatan setia kepada syarikatnya adalah kerana peluang kerjaya yang lebih baik bakal ditawarkan pada masa depan.

''Bagaimanapun, mereka masih akan mencari peluang pekerjaan baru sekiranya peluang peningkatan kerjaya itu adalah terhad,'' ujarnya.

Katanya, penyumbang lain pula ialah pekerja tersebut mengetahui mengenai hala tuju perniagaan syarikat masing-masing dan mengetahui mengenai komitmen pihak pengurusan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat termasuk prestasi kewangannya.

''Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pembayaran gaji dan pelbagai insentif kepada mereka,'' katanya.

Tambah beliau, pekerja yang berdedikasi ini akan setia kepada organisasi masing-masing sekiranya pihak pengurusan sentiasa berusaha menyediakan latihan dan pelbagai program ilmiah kepada pekerja untuk meningkatkan prestasi kerja mereka.

''Kesungguhan syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat juga adalah salah satu faktor yang turut diambil kira bagi menentukan kesetiaan pekerja kepada syarikat,'' terangnya.

Tower Perrin adalah firma global yang terkemuka dalam bidang pengurusan pembangunan sumber manusia yang menyediakan perkhidmatan profesional global.
Firma tersebut membantu organisasi meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing melalui pengurusan kakitangan yang efektif, kawalan risiko serta pengurusan kewangan.

No comments: