Friday, May 29, 2009

PERANG HALUS PRO-MUQABALAH VS 'ERDOGAN' DALAM HARAKAH

Malaysiakini, 28 May 2009-05-29

Media rasmi PAS turut terseret dalam perang halus antara dua aliran besar - pro-muqabalah dan "kumpulan Erdogan" - menjelang pemilihan jawatan kanan di muktamar, minggu depan.

Walaupun berkempen melalui Harakah dilarang oleh jawatankuasa pemilihan parti, artikel beberapa penulis termasuk pemimpin PAS berjaya menyampai mesej tersirat untuk menegakkan aliran masing-masing.

Dalam edisi terbaru, organ parti itu menerbitkan tulisan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang memuji sikap terbuka bekas presidennya Datuk Fadzil Noor terhadap pemimpin aliran-aliran berbeza dalam parti.

ADUN Batu Buruk itu, yang dianggap bersama aliran pro-Pakatan Rakyat yang mempertikaikan sikap pro-muqabalah, secara senyap dan tidak langsung menepis amaran Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berhubung "musuh dalam selimut".

"Tidak ada sedikit pun sikap prejudis serta keraguan beliau (Fadzil) apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latar belakang ini," kata Dr Syed Azman dalam artikelnya 'Permata berharga dalam perjuangan PAS' yang disiarkan sebagai satu rencana khas.

"Tidak pernah saya mendengar ungkapan 'musuh dalam selimut' daripada almarhum (Fadzil), malah beliau mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa 'berjiwa besar' dan tidak mudah melatah."

Dr Syed Azman - mempertahankan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa pusat PAS - memulakan artikelnya itu mengenai perasaannya sewaktu hadir di seminar sehari kepemimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS, Gombak pada 23 Mei lalu.

Secara sengaja atau tidak, maksud "musuh dalam selimut" menjadi popular baru-baru ini apabila Dr Haron menggesa mekanisme pemilihan PAS diperketatkan kerana bimbang wujud pemimpin yang ditaja musuh parti itu, termasuk Umno atau negara asing.

Tokoh ulama PAS itu turut menyatakan rasa bimbangnya apabila pemimpin yang bertanding mendapat promosi melalui media termasuk di Harakah.

"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti Harakah dan (mingguan politik) Siasah atau media-media lain.

"Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti," kata bekas pensyarah agama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Walaupun Dr Haron tidak menyatakan sasarannya kepada "kumpulan Erdogan" yang berminat merampas jawatan timbalan presiden - kini disandang Nasharuddin Mat Isa, seorang pemimpin yang dianggap mewakili aliran pro-muqabalah - beberapa peserta beranggapan pengamal perubatan alternatif itu menyindir pihak-pihak tertentu.

Dalam edisi terbaru Harakah, Dr Haron menafikan laporan Malaysiakini, Sabtu lalu, yang memetik sumber-sumber peserta seminar kepemimpinan ulama yang tidak selesa dengan pembentangannya.

Datuk Husam Musa, pencabar utama Nasharuddin dalam muktamar 5 Jun ini, sendiri menyifatkan pandangan Dr Haron itu tentang bahaya pemimpin tajaan musuh tidak mewakili parti tetapi lebih bersifat peribadi.

Sementara bakal ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan turut menyebut kemungkinan wujud "musuh dalam selimut" sewaktu mengupas isu semasa tentang kedudukan profesional dan ulama yang disebut-sebut sedang bergeser sekarang.

Walaupun tidak ditujukan dengan jelas kepada sesiapa dan cuba meyakinkan bahawa tiada masalah antara ulama dan profesional, timbalan ketua Pemuda PAS itu menulis, musuh dalam selimut itu "akan lakukan apa sahaja untuk mengalih salah satu daripada tungku ini dari posisinya agar PAS tumbang atau paling tidak senget dan tidak seimbang."

Artikelnya 'Kekuatan tiga tungku yang tidak boleh dipisahkan' yang mengulas kedudukan dan peranan aktivis, profesional dan ulama dalam parti tidak menampilkan pendirian politiknya yang jelas.

Bagaimanapun Nasrudin, seorang ustaz yang menang tanpa bertanding bagi ketua sayap utama itu, sebelum ini pernah mengkritik Husam secara terbuka apabila ingin mencabar Nasharuddin dengan alasan arah tuju PAS kini masih kabur.

Kenyataan Husam itu jelas merujuk pendiran dan sikap Nasharuddin yang pernah terlibat dalam rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu perdana menteri, selepas pilihanraya umum Mac 2008.

Seorang lagi naib presiden PAS Mohamad Sabu turut bersaing bersama Husam untuk mengalahkan Nasharuddin.

Sementara penulis kolum akhbar itu Abdul Shukur Harun dengan jelas menyampaikan mesej bahawa pendekatan beberapa pemimpin PAS yang ingin berunding dengan Umno boleh membawa akibat buruk merosotnya pengaruh PAS yang kini memuncak.

Dengan membandingkan nasib yang dialami Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia - dulu benar-benar dikagumi pemimpin PAS selepas ia melonjak dalam pilihanraya 2004 - bekas editor kanan Harakah itu menggesa PAS agar berhati-hati dengan pemimpin dan parti yang dipertikaikan secara meluas oleh rakyat seperti Golkar.

Suharto, yang mengepalai Golkar, diberikan pujian melambung oleh dua pemimpin kanan PKS - ketua Dewan Syura PKS, Hilmy Aminuddin dan setiausaha agung PKS, Anis Matta - pada satu majlis November tahun lalu.

Walaupun berniat untuk menggalakkan perdamaian, puji-pujian kepada bekas presiden Indonesia itu dianggap umum sebagai usaha memaafkan Suharto yang authoritarian dan memulihkan nama baiknya yang memerintah secara keras sepanjang 32 tahun.

"Kekalan PKS ini disebabkan sikap memberi kenyataan media tanpa berhati-hati, silap mengatur strategi, mulai kurang memberikan perhatian kepada rakyat biasa," coret Abdul Shukur dalam 'Pelajari kekalahan PKS di Indonesia' dalam edisi awal minggu ini.

"Semuanya terjadi apabila sesetengah pemimpin PKS memuji bekas presiden Suharto yang semua orang tahu mengenai pemerintahan kuku besi serta tindakan tiraninya.

"Selanjutnya ada sesetengah pemimpin PKS mahu pula mengadakan hubungan baik dengan parti Suharto, Golkar yang kini dipimpin oleh Jusuf Kalla (calon presiden bagi pemilihan, Julai ini)."

Artikel dari kolum 'Cetusan Idea' itu kini turut dimuatkan di laman web Harakahdaily.net.

Dua lagi edisi Harakah akan menemui ahli PAS termasuk lebih 1,000 perwakilan yang akan mengundi Husam dan Nasharuddin di muktamarnya di Shah Alam, Jumaat minggu depan.

Tidak pasti sama ada akan wujud lagi mesej tersembunyi mana-mana aliran atau calon dalam akhbar politik dwi-mingguan yang berpengaruh luas itu.

No comments: