Sunday, June 14, 2009

ANWAR IBRAHIM TIDAK HARGAI PENGORBANAN ATM

Betul sangat kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Kijang setuju 100 peratus,

Memang P enasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghargai pengorbanan anggota tentera demi mempertahankan rakyat dan negara daripada kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Anwar dibidas kerana tidak menghargai pengorbanan anggota tentera demi mempertahankan rakyat dan negara daripada kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) apabila meminta bekas setiausaha agung PKM Chin Peng dibenarkan pulang ke tanah air.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, Chin Peng seharusnya dibenarkan menghabiskan hari-hari akhirnya atas dasar peri kemanusiaan, malah Malaysia juga sudah menjalin hubungan baik dengan China.

"Dia (Chin Peng) umur pun dah dewasa. Dia nak balik ke kampung halaman dia, kita dah benarkan dulu," katanya.

Oleh kerana Malaysia turut menjalin hubungan baik dengan China, katanya, adalah tidak wajar Chin Peng dihalang daripada kembali ke tanah air.

“Nampaknya kita sudah memaafkan mereka semua, mengapa tidak memaafkan seorang ini atas apa yang dia telah lakukan," kata beliau pada sidang media Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Nilai semalam.

Terdahulu dalam ucapan khas beliau pada kongres itu, Anwar juga melahirkan pendirian serupa.
“Bagaimanapun ini tidak bermakna kita bersetuju dengan semua kesalahan yang dia lakukan," kata Anwar sambil menambah, beliau pernah mengecam komunis ketika zaman mudanya dulu.
"Sejarah kita kena lihat secara objektif dan kita ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja," katanya lagi.

Anwar berkata, sewaktu beliau berada dalam kerajaan, beliau dan beberapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional pernah berkunjung ke China dan pemimpin-pemimpin Parti Komunis China secara terang-terang menyokong PKM.

Idea agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia dilontarkan oleh Gerakan tetapi ia mendapat tentangan pelbagai pihak. Malah kerajaan juga menegaskan ia tiada hasrat untuk membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Mukhriz berkata kenyataan ketua pembangkang itu jelas menunjukkan sikapnya yang tidak menghargai dan memperlekehkan pengorbanan anggota tentera yang terkorban dan ada yang cacat seumur hidup angkara kekejaman PKM.

Menurut Bernama, Mukhriz berkata kenyataan Anwar yang menyamakan PKM dan pengganas Chin Peng dengan Kerajaan China serta Parti Komunis China tidak masuk akal selain tidak bertanggungjawab.

"Chin Peng seorang yang rasis, tidak berperikemanusiaan dan tidak berjuang untuk idealisme komunis yang sebenarnya," katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Mukriz mengulas kenyataan Anwar hari ini bahawa Chin Peng seharusnya dibenarkan pulang ke tanah air untuk menghabiskan sisa hidupnya demi pertimbangan kemanusiaan.

Menurut Mukhriz sejarah telah merakamkan pembunuhan rakyat Malaya yang dilakukan oleh PKM pimpinan Chin Peng dan bukannya atas arahan kerajaan China pada waktu itu.

"Saya cabar Anwar untuk mendapatkan seorang anggota ATM yang setuju dengan pandangan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali AlHabshee memberitahu Bernama bahawa Chin Peng telah banyak menimbulkan masalah dan sekiranya dia kembali, banyak lagi masalah akan berlaku.

"Orang dulu kena kerat, kena bom, kena seksa, kena tembak atas arahan dia (Chin Peng) lepas tu nak bagi dia balik. Tidak adil untuk Anwar mengeluarkan kenyataan seperti itu," tegas Syed Ali.

Beliau berkata Anwar hanya inginkan populariti dan mengeluarkan kenyataan sebegini untuk meraih sokongan orang Cina.

No comments: