bypass308.blogspot.com (4 June 2009)
Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah
TERTUNGGU-TUNGGU juga ramai pengikut perkembangan politik Terengganu, apa komen blogger Abdul Mubin Ismail, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (DSIJ) apabila bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri, tiba-tiba runtuh.
Walaupun tiada suara yang menjerit, tiada surat yang dihantar meminta kenyataan dari tiga individu hebat dalam krisis politik Terengganu ini, tetapi kemunculan mereka, ketika semua orang terkejut, kecuali mereka, apabila bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, sepatutnya boleh tampil dengan ‘keberanian’.
Kenapa mereka perlu tampil dengan keberanian? Kerana selama ini, mereka dilihat cukup berani mahu ‘meruntuhkan’ sesuatu di Terengganu, tetapi apa yang terjadi, bumbung stadium yang mereka tahu, dibina ketika mereka bertiga duduk di Wisma Darul Iman, tiba-tiba runtuh tepat jam 9.30 pagi, 2 Jun 2009 yang lalu, setahun setelah ia dirasmikan leh Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dalam satu kenyataannya berkata; “satu siasatan perlu dijalankan untuk kita menentukan apakah puncanya. Adakah ini berpunca kerja-kerja kontraktor ataupun konsultan. Mungkin juga ia berpunca oleh sebab lain.
Walaupun Muhyiddin tidak mencari di mana bekas Menteri Besar Terengganu, DSIJ berada ketika runtuhan ini berlaku, tetapi alangkah baiknya jika DSIJ yang sering terkehdapan dalam isu kemelut politik Terengganu, tampil dengan cerita bagaimana projek ini diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang terlibat?
Menteri Kerja Raya, Datuk Shahziman Abu Mansor pula berkata; “stadium ini baru dibina setahun lalu. Kejadian ini memalukan negara. Nanti orang kata, bangunan sedang dibina pun ada benda jatuh, bangunan sudah siap pun boleh jatuh bubungnya, bangunan yang nak diruntuhkan pun runtuh juga.”
Shahziman yang juga Ahli MT Umno tidak perlu memanggil Rosol untuk memberi apa-apa penjelasan terhadap isu keruntuhan bumbung stadium ini, tetapi sebagai orang kuat di kalangan Geng 10 yang mahu melihat Menteri Besar Terengganu ditukarkan, bukankah baik jika Rosol memainkan peranan proaktif menerangkan apa yang dia tahu mengenai projek bernilai RM292 juta ini, dibina ketika dia adalah salah seorang Exco kanan dalam kerajaan pimpinan DSIJ.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pula berkata; “saya berasa dukacita dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.”
Bukankah baik jika Abdul Mubin Ismail yang merupakan bekas PA kepada Datuk Din Adam yang merupakan Exco yang bertanggungjawab terhadap sukan negeri, tampil melalui blognya yang digunakan untuk menyerang kepimpinan Datuk Ahmad Said, menceritakan bagaimana bumbung stadium yang dibuat oleh kontraktor Korea ini boleh runtuh, padahal usianya baru setahun.
Kalaulah DSIJ, Rosol dan Abdul Mubin boleh tampil, menceritakan sejarah pemberian projek ini dan perlantikan kontraktor, selain dari cerita beberapa projek lain dan perlantikan kontraktor lain, yang pastinya mereka kenal pengarah-pengarah syarikat berkenaan, alangkah baiknya?
Ramai yang hairan, ketika Geng 10, yang mendapat sokongan dari DSIJ dan Abdul Mubin kelihatan begitu berani menyiapkan beberapa laporan bertujuan memalukan kepimpinan Datuk Ahmad Said, tiba-tiba ‘menjadi penyu bertelor’ dengan linangan air mata, kerana takut isu runtuhan ini memakan mereka pula.
Datuk Ahmad tentunya tahu serba sedikit mengenai pembangunan dan pembinaan stadium ini kerana beliau juga merupakan salah seorang Exco dalam era kepimpinan DSIJ. Tetapi tidak eloklah kalau yang bercakap mengenai isu runtuhan ini ialah beliau sendiri kerana dikhuatiri orang ramai beranggapan Datuk Ahmad cuba menyalahkan kepimpinan terdahulu.
Waran tangkapan tidak perlu dikeluarkan untuk mencari DSIJ, Rosol dan Abdul Mubin sepert mana yang berlaku ketika polis mencari Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir tempohari tetapi walaupun tanpa waran tangkapan, alangkah baiknya jika ketiga-tiga individu ini (mereka bukan Tiga Abdul), tampil membantu pihak-pihak yang dilantik untuk menjalankan siasatan.
Siasat betul-betul. Jangan siasat ala kadar sahaja. Siasat dari mula. Dari perlantikan kontraktor hinggalah kepada siapakah yang mempunyai kuasa membuat keputusan memilih kontraktor yang dikatakan kurang pengalaman dan kurang kebolehan.
Ketika kontraktor menunggu masa hukuman dijatuhkan, orang yang menyebabkan kontraktor ini dilantik juga jangan sesekali dilepaskan begitu sahaja.
Jika pemilihan dibuat hanya kerana kroni, nepotime atau korupsi, tidak mustahil perkara-perkara seperti akan berlaku.
Mudah-mudahan DSIJ, Rosol dan Abdul Mubin akan lebih terkenal selepas ini, untuk mendedahkan kepada umum siapa mereka ini?
No comments:
Post a Comment