Ternyata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak minat dengan cadangan Datuk Zaid Ibrahim.
Hari ini Tengku Razaleigh menegaskan beliau tidak akan meninggalkan UMNO dan serentak dengan itu menolak pelawaan yang dibuat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Katanya, sekalipun UMNO ada kelemahan tetapi ia masih ada peranan untuk masa depan yang diharapkan.
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Ahli terbaru Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang ditonjolkan sebagai pemimpin masa depan parti itu memang terkenal dengan pelbagai kontroversi.
Selain daripada kenyataan-kenyataan yang kadang kala mencetuskan polemik beliau sering dikaitkan sebagai golongan ‘Melayu baru’.
Malah tatkala PAS pada satu ketika menjadikan hudud sebagai agenda perjuangannya yang kini sudah diketepikan atas desakan komponen parti pembangkang, Zaidlah orangnya yang membawa isu hudud ke mahkamah untuk menghalang PAS melaksanakan hudud.
Kini setelah begitu aktif bergerak dalam PKR, Zaid terus menyerang UMNO sebagai parti perkauman dan menariknya menjemput Ahli Parlimen Gua Musang itu untuk meninggalkan UMNO dan menyertai parti barunya itu.
Zaid Ibrahim bagaikan lebih ‘mulia’ daripada Tengku Razaleigh apabila mengajak pemimpin veteran itu menjadi ahli PKR.
Tidak hairanlah jika Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Rais Yatim mengingatkan Zaid agar tidak lupa diri setelah mengecap kejayaan semasa berada dalam UMNO.
Sambil menolak dakwaan UMNO bersifat perkauman Rais berkata sebagai parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN), UMNO sama-sama memperjuangkan nasib semua kaum selama ini.
''Tindakan Zaid membuat dakwaan (dalam blognya) itu dilihat seperti orang yang lupa diri selepas mendapat faedah dan kejayaan menerusi UMNO ketika berada dalam parti. Beliau perlu ingat bahawa kejayaan firma beliau juga berlandaskan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita hari Selasa.
Zaid mempunyai firma guaman yang besar iaitu Zaid and Co (ZICO) dan ada yang menyebut bahawa majoriti urusan guamannya melibatkan kontrak-kontrak kerajaan.
Menurut Rais, kenyataan Zaid dalam blognya yang menuduh UMNO perkuaman dan menjemput Tengku Razaleigh menyertai PKR disifatkan sebagai kenyataan orang yang masih mentah dan tidak memahami ‘asam garam’ politik.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan kenyataan Zaid itu sebenarnya merendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh sebagai seorang pejuang UMNO dan pengasas parti itu sejak dahulu lagi.
Justerus tidak sepatutnya kewibawaan Tengku Razaleigh dipersoalkan kata beliau sambil menambah “ lagipun, kenapa dia jemput seorang sahaja, tidak jemput semua," .
''Walaupun (Tengku Razaleigh) tidak berjawatan, tetapi beliau masih aktif dan cergas. Sewaktu kita menjalankan kempen pada pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan baru-baru lalu, Tengku Razaleigh banyak membantu dan kita hampir menang kerana kehadiran beliau di situ," ujarnya.
No comments:
Post a Comment