Anggota unit forensik mengangkat rangka bayi yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Bijih, Tanah Merah, kelmarin.
Misteri kemunculan sebuah kubur kanak-kanak secara tiba-tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Bijih, Batu Gajah di Tanah Merah, sejak dua bulan lalu terjawab selepas ia digali semula kelmarin.
Kerja-kerja menggali dilakukan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, pegawai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan pegawai Majlis Agama Islam Kelantan.
Ia dilakukan kira-kira pukul 11 pagi berikutan satu laporan dibuat penduduk di Balai Polis Batu Gajah, kelmarin yang curiga dengan kubur tersebut.
Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, setelah menggali kira-kira satu meter, satu rangka bayi berukuran kira-kira 70 sentimeter ditemui dalam keadaan berbalut kain putih.
"Rangka bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat dijalankan, mayat bayi itu telah ditanam di tanah perkuburan tersebut sejak tiga bulan lalu.
"Keadaan rangka bayi itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan namun jantina masih belum dikenal pasti," katanya.
No comments:
Post a Comment