Friday, August 6, 2010

KERAJAAN KELANTAN WUJUDKAN DAERAH KECIL LOJING

Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kanan) melihat replika pelan pembangunan Jajahan Kecil Lojing Kelantan di Lojing, semalam. - Gambar Utusan

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra semalam berkenan melancarkan kawasan Lojing yang berkeluasan 1,817 kilometer persegi sebagai Jajahan Kecil Lojing (JKL).

Pada majlis itu, baginda turut meletakkan batu asas bagi pembinaan Masjid Keputeraan Lojing, iaitu masjid pertama dibina di kawasan itu serta bersalaman dengan penduduk.
Lojing mencatat sejarah tersendiri apabila kawasan berkeluasan 1,817 kilometer persegi yang terkenal dengan pusat pertanian itu semalam secara rasminya diisytiharkan sebagai satu daripada 11 jajahan di Kelantan.

Jajahan Kecil Lojing meliputi daerah Hau, Betis dan Sigar dengan jumlah penduduk seramai 5,613 orang yang sebahagian besarnya adalah Orang Asli.

Ia terletak bersempadanan dengan pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang dengan jarak 10 kilometer dan dihubungkan melalui jalan Gua Musang-Cameron Highlands dan turut dihubungkan dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai, Perak.

Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah pusat pentadbiran Jajahan Kecil Lojing bertempat di Pos Sigar bagi menyelaras segala urusan berkaitan pembangunan di jajahan baru itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kawasan itu akan menempatkan pelbagai jabatan kerajaan termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan, Majlis Daerah Lojing, Pejabat Agama, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pertanian, Pejabat Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pejabat Kebajikan Masyarakat.

"Ia turut menempatkan agensi kerajaan yang terbabit di peringkat awal ini termasuk Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Kelantan Sdn Bhd," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jajahan Kecil Lojing di Kampung Penangau, di Lojing semalam.


Nik Abdul Aziz berkata projek pembinaan pejabat kerajaan itu akan dilaksana secara berperingkat. Taburan penduduk di situ adalah Orang Asli seramai 4,113 orang; Melayu (200) dan selebihnya terdiri daripada lain-lain bangsa.

Beliau berkata Lojing kini mempunyai jumlah penduduk seramai 5,613 orang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa dan terdapat juga lebih kurang 1,300 pekerja asing yang bekerja di situ.

Lojing yang terkenal dengan pusat pertaniannya dan terletak kira-kira 120km dari bandar Gua Musang berpotensi untuk dijadikan pusat agro-tourism.
Menteri Besar berkata dengan persekitaran semula jadi yang masih lagi terpelihara serta lokasinya yang strategik, jajahan Lojing mampu menarik pengunjung yang ingin mencari kelainan yang ada di Kelantan.

"Saya cukup optimis dengan masa depan Lojing, udaranya masih bersih serta, pengunjung boleh menikmati sayur dan buah-buahan yang masih segar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak perasmian pembukaan Jajahan Kecil Lojing, pada hari kelamrin (Rabu).

Nik Abdul Aziz berkata selain penaiktarafan Lojing, jajahan kecil itu juga mempunyai kemudahan jalan raya yang selesa kerana jajahan itu terletak di antara laluan Gua Musang-Cameron Highland, di Pahang dan laluan itu juga turut menghubungkan negeri-negeri Pantai Barat melalui Tapah, Perak dengan Kelantan.

Beliau berkata Lojing juga mempunyai infrasturuktur yang lengkap.

Bagaimanapun beliau mengharapkan kawasan persekitaran jajahanini kekal dengan alam semula jadi tanpa banyak berlaku penerokaan hutan sebagaimana yang berlaku di sesetengah tempat lain.

"Saya hendak semuanya terpelihara dan saya mahu pegawai daerah cari sungai lebih kurang 10 kilometer untuk pelihara ikan dan kita buka setahun sekali untuk aktiviti memancing, ini semua penting bagi mengekalkan alam semula jadi," katanya.

No comments: