Tuesday, June 29, 2010
TAHNIAH LESEN JUDI BOLA SEPAK TIDAK DILULUSKAN
APABILA lesen judi dikhabarkan hendak dilesenkan, satu Malaysia riuh-rendah ingin ia tidak diluluskan. Namun dalam kelegaan kita judi bola tidak diluluskan, ia sedikit pun tidak menyebabkan tahi judi berasa tergugat.
Tidak kira berapa orang VIP dikatakan telah lari ke luar negara kerana menjadi peneraju judi kerana sikap berjudi di seluruh dunia melangkau sempadan globalisasi. Siapa yang mampu menyekat jika orang kita hendak berjudi di Las Vegas mahupun di seberang sempadan.
Jika kita bercakap soal judi zaman Tok Kaduk, mungkin jika ia diharamkan untuk rakyat negara ini ketidaklulusan lesen menjadi satu mekanisme cukup baik, namun nampak cantik pada permukaannya sahaja.
Kolum Cuit tulisan Datuk Zaini Hassan perihal judi dua minggu lepas yang amat disukai oleh salah satu etnik di negara kita amat mencuit hati sebuah akhbar berbahasa Inggeris untuk menterjemahkannya ke bahasa tersebut.
Mungkin pihak yang membaca akan terasa disindir kerana selama ini mereka tidak mengakui judi itu haram dan tidak bermoral dan itulah perkara yang dilakukan setiap hari dalam kehidupan.
Walaupun kita tidak bertaruh berapa banyak Ringgit Malaysia, namun ada yang menepuk dahi apabila ramalan yang dibuatnya salah sehingga mencetuskan pergaduhan dan bertegang leher sesama kawan dan suami isteri. Itu perlu juga kita kaji.
Ia sebenarnya bukan setakat soal judi wang tetapi judi fakta berdasarkan analisis. Dalam Islam membuat ramalan sehingga bermasam muka juga satu perkara yang berdosa besar termasuk kategori bertenung nasib atau menilik. Jangan lupa dalam Islam ada tujuh pembinasa besar bukan hanya judi yang boleh menyebabkan kerosakan dalam masyarakat.
Turut menjadi fokus kita adalah untung politik dan untung perjuangan menjaga nilai-nilai agama dan moral. Ada kisah satu golongan aktivis yang berhempas pulas berkumpul dan bermesyuarat sehingga pihak luar yang ingin mendengar atas dasar prihatin disuruh pulang kerana pada mereka perjuangan menghapuskan judi bola hanya untuk mereka sahaja.
Namun apabila diajak berjuang untuk menggalakkan anak-anak kita yang bersidai menonton bola sehingga ke pagi supaya pulang ke rumah menunaikan ibadat dan berehat (tidur) tidak pula dilakukan.
Bukankah itu juga wajar diperjuangkan.
Bola sepak memang bagus, yang tidak bagusnya adalah judi. Kita perlu ingat sebagai sebuah negara majmuk, kita tidak boleh melihat judi sahaja yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat kerana perjuangan untuk bangsa dan agama biar seimbang dengan gejala sosial yang melanda kita hari ini.
Langkah mengharamkan judi tidak akan membuatkan tahi judi insaf, atau kita mengharapkan mereka hanya duduk seronok menonton bola sepak Piala Dunia hingga tamat. Jika saluran judi haram boleh digunakan, soal lesen ada atau tidak langsung tidak menjadi kudis kepada mereka.
Dalam era siber ini, setiap pertaruhan boleh dibuat menggunakan satu jari sahaja, jika kita melayar Internet bukan sahaja ada tawaran bertaruh, malahan turut disiapkan dengan ramalan oleh agensi judi tertentu. Itu belum dimasukkan lagi dengan ramalan oleh blogger-blogger kelas profesional dan blogger yang langsung tidak ada kelas.
Judi bola haram sinonim dengan judi ekor haram yang dari dulu telah wujud. Sehingga kini, ia tidak mampu dibanteras oleh pihak berkuasa, kerana apabila ia dilakukan kecil-kecilan sukarlah pula untuk dipantau. Lain pula dengan judi bola jika lesen diberi sudah pasti ramai orang luar yang akan 'melabur' disebabkan kadar pertukaran mata wang asing yang tinggi berbanding Ringgit Malaysia. Jika orang tempatan membuat pertaruhan, jawabnya kalau masuk satu ribu, rugi pun satu ribu, akibatnya 'along' pula yang akan menolong.
Berjudi memang kerja orang yang malas berusaha secara positif, memang tepat pada masanya judi bola tidak dibenarkan.
Hari ini, Piala Dunia, esok mereka minta pula judi untuk English Premier League sebab sudah beri cukai yang tinggi, sedangkan cukai itu datang dari duit tahi judi yang sudah pasti duit tidak ikhlas sifatnya. Sebaik-baiknya judi dan enam dosa besar yang lain dalam agama Islam perlu dikaji untuk dibanteras jika ada kewajaran. Namun biarlah ia dibuat penuh hikmah dan kewajaran untuk semua rakyat negara ini.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkan judi bola sepak ini diluluskan di negara kita. Ini bukan bermakna kemenangan kepada perjuangan kita tetapi ia lebih kepada rasional dan zaman ini di mana kita terlalu mewah dengan sukan dan hiburan sehingga ia pun turut hendak diperjudikan. Bayangkan jika judi bola sepak diluluskan, berapa banyak wang yang akan dimenangi oleh pihak yang langsung tidak terlibat dengan perlawanan tersebut.
Kerana apabila berlawan pasti ada pihak yang akan tewas dan yang menang. Jika ramalan tahi judi salah, sudah para pemain bola sepak akan mendapat musuh yang dirinya sendiri tidak kenal. Namun itulah hakikat Piala Dunia penuh dengan kejutan dan kehebatan.
Jangan berjudi dengan duit mahupun dengan fakta dengan membuat ramalan kerana bola itu bulat. Elakkan berjudi secara haram kerana menurut Islam bukan nilai judi dipertimbangkan sebagai dosa tetapi perbuatan berjudi itu sendiri jelas berdosa dan bayangkan jika kita hanya bertaruh sebungkus mi segera. Agak tidak berbaloi.
ABDUL RAZAK IDRIS (Banting, Selangor)
53,000 PETANI KELANTAN HILANG SUMBER PENDAPATAN
Ini menjadi faktor utama sejumlah 53,000 keluarga petani di kawasan rancangan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hilang punca pendapatan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, keadaan sungai yang semakin cetek kesan kegiatan menyedut pasir tanpa kawalan menyebabkan penjana pam penyedut air KADA di kawasan Kemubu tidak dapat berfungsi.
Pam itu membekalkan air ke 31,000 hektar sawah di kawasan terbabit dan kini semakin kontang.
Beliau berkata, permasalahan ini sudah kerap disuarakan oleh petani terbabit tetapi tidak mendapat maklum balas dan tindakan susulan daripada pihak berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh bersikap 'lepas pandang' dan tidak melihat isu yang berlarutan ini.
Pada masa yang sama, katanya, petani terbabit juga tidak dapat menikmati pelbagai bentuk subsidi yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat secara maksima kerana mereka tidak mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.
"Kegagalan kerajaan negeri itu secara langsung turut menyebabkan kedudukan ekonomi rakyat Kelantan sekarang semakin terhimpit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Repek, Telong di Bachok, kelmarin.
Sebelum ini Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat berkata, tanaman padi luar musim tahun ini yang dijadualkan awal bulan ini terpaksa dibatalkan disebabkan masalah berkenaan.
Ibrahim berkata, kerugian pendapatan itu melibatkan petani di kawasan Pasir Mas, Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh dengan anggaran hasil musim kedua bernilai kira-kira RM150 juta.
Ketika berucap pada majlis berkenaan, Dr. Awang berkata, petani terbabit sepatutnya dapat menikmati subsidi baja, upah membajak, skim subsidi racun dan insentif jualan padi sebanyak RM2,300 untuk sehektar pada setiap musim.
Beliau berkata, kesan keadaan itu petani terbabit kini mengharapkan satu pilihan iaitu mengusahakan tanaman padi bermusim pada bulan November dan Disember dengan mengharapkan bekalan air hujan sahaja.
Menurutnya, tindakan kerajaan negeri yang meluluskan lesen konsesi balak di Ulu Kelantan secara tidak terancang yang mengurangkan kawasan tadahan hujan juga turut menyebabkan air yang membawa sisa hakisan mengalir laju ke sungai utama, mudah berlaku mendapan dan paras air sungai yang cetak.
"Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan negeri juga meluluskan berpuluh-puluh lesen untuk menyedut pasir kepada individu di sepanjang sungai Kelantan menyebabkan aliran air bertambah laju mengalir ke Laut Cina Selatan melalui Kuala Besar.
"Ini menyebabkan paras air Sungai Kelantan cepat menurun dan mengakibatkan penyedut air di Kemubu kini berada tergantung di atas paras air," katanya.
Awang berkata, sepatutnya kerajaan negeri membuat kajian terperinci terhadap fenomena alam dan dasar sungai berkenaan sebelum meluluskan konsesi balak dan lesen menyedut pasir kerana ia boleh memberi kesan yang teruk terhadap ekonomi rakyat negeri ini yang sejak sekian lama bergantung hidup terhadap sumber air sungai berkenaan.
Monday, June 21, 2010
DR ASRI SEMAKIN HAMPIR SERTAI UMNO
Menurut sumber-sumber yang rapat dengannya, pertemuan melibatkan beberapa pemimpin kanan Umno itu telah beberapa kali berlangsung.
"Beberapa lagi siri pertemuan akan diadakan selepas ini," kata sumber-sumber yang maklum tentang usaha Umno itu.
Sabtu lalu, akhbar web Umno Online melaporkan Dr Mohd Asri bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk PhD akan menyertai Umno Jumaat ini.
Memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof, Dr Mohd Asri dilaporkan akan menyertai Umno menerusi cawangan dataran Merdeka dalam bahagian Bukit Bintang.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd. Rauf Yusof ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini berkata: "Ya, tunggulah Jumaat ini."
Sebelum itu, beliau berkata, barisan ulama berkenaan akan menyertai parti menerusi Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menulis dalam blognya selepas itu Dr Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.
Buat masa ini, tambahnya, belum jelas status rundingan itu sama ada Dr Mohd Asri benar-benar akan menyertai parti Melayu itu pada Jumaat ini.
Difahamkan juga, selain bantahan bertubi-tubi terhadap ura-ura penyertaan Dr Mohd Asri itu, ulama muda itu turut menerima sokongan daripada sebahagian penyokongnya yang ingin turut sama mengikuti jejak-langkahnya.
Jika perkara tersebut benar-benar menjadi kenyataan, penyertaan ulama kontroversi itu bakal memberikan tamparan hebat kepada pembangkang yang sebelum ini turut berusaha melamar beliau.
BAIAH POLITIK PARTI PEMBANGKANG
TIDAK berapa dahulu kita didedahkan mengenai bagaimana wujudnya amalan baiah cerai talak tiga dalam Pas bagi memastikan tidak ada wakil rakyatnya melompat parti.
Walaupun tidak semua wakil rakyat Pas melakukan baiah tersebut tetapi apa yang pasti ia diakui dilaksanakan.
Hujah Abdul Hadi, rahsia tersebut ialah baiah yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah SWT dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon.
‘‘Perbezaan kekuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pas ialah baiah berjanji dengan Allah SWT jika kami menipu, khianat dan menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah SWT, oleh malaikat dan segala yang melaknat,’’ katanya.
Jika Pas melibatkan sumpah, DAP Perak pula melibatkan soal kewangan apabila akan mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.
Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008, bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.
Kalau dikaji, kesemua wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar parti adalah disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti dan merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan selagi berada dalam pembangkang.
Apa yang dilakukan oleh Pas dan DAP dalam soal baiah ini adalah jelas demi kepentingan dan survival politik mereka sahaja. Walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak mampu memberikan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan wakil rakyat mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan tetapi itu tidak penting.
Apa yang lebih mustahak bagi mereka ialah memiliki kerusi sama ada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, soal wakil rakyat mereka membuat kerja untuk rakyat atau tidak, ia soal kedua.
Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin pembangkang tidak pula menganggap ia satu pengkhianatan atau dilaknat jika ada wakil rakyat BN ingin menyertai pembangkang.
Ada antara pemimpin utama mereka berhujah bahawa tindakan itu tidak salah dari sisi Islam kerana kononnya keluar dari perjuangan yang tidak baik bagi menyertai perjuangan yang baik.
Malahan ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan rancangan 16 September, hampir kesemua pemimpin pembangkang menyokongnya.
Inilah permainan politik yang ada kepada pembangkang di negara kita sekarang. Apa sahaja yang menguntungkan mereka tidak apa tetapi kalau merugikan mereka tidak boleh.
ZULKIFLEE BAKAR (pengarang@utusan.com.my)
Sunday, June 20, 2010
VIDEO ELI – ZAHRAIN, ZUL & WEE CABAR ANWAR BERSUMPAH
Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengadakan sidang akhbar lobi parlimen untuk menafikan dakwaan Datuk Seri Zahrain Hashim beliau memiliki atau pernah melihat video aksi seks Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor,Elizabeth Wong.
Beliau cuba meremehkannya sebagai satu dakwaan yang bukan serius.
"Kenapa kita perlu pedulikannya.Kenapa nak pedulikan orang yang dibayar.Adakah awak fikir ini satu tuduhan serius."Nak layan apa, saya tidak ada video itu. Kalau saya ada saya akan dedahkan.Tetapi tiada buktipun bahawa saya ada. Dia tidak patut buat ini, ia tidak beretika dan tidak boleh diterima," kata Anwar .
"Saya tidak menonton .Saya tidak tahu jika dia menonton video lucah. Saya tidak tahu jika dia berbuat demikian," katanya.
Dalam sidang akhbar itu Anwar yang kurang senang dengan asakan seorang wartawan RTM agar memberi bukti dakwaannya Ahli Parlimen PKR yang lompat parti disogok RM 2 juta telah bertegang urat dengannya hingga menyebut 'shut up'.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disifatkan oleh Konsensus Bebas sebagai seorang 'kaki penipu' kerana mengatakan tidak pernah melihat video seks Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.
Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pada satu sesi taklimat di Pejabat Ketua Pembangkang itu, beliau melihat dan mendengar Anwar bercakap mengenainya dan akan mengambil tindakan terhadap Elizabeth.
Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan mencabar Anwar bersamanya membuat sumpah di masjid untuk membuktikan siapa bercakap benar.
"Saya tinggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana keraguan mengatasi keyakinan, kami bertindak kerana kami tidak mahu beliau (Anwar) bercakap sesuka hati beliau.
"Dalam kes Eli (Elizabeth), saya hanya memberikan satu contoh pembohongan Anwar, sama juga seperti isu 16 September dahulu dengan menipu wakil-wakil rakyatnya, jadi jika beliau menipu saya tidak terkejut kerana itulah kemahirannya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen kelmarin.
Zahrain yang mempertahankan kenyataannya dengan Agendadaily, turut mempertahankan dakwaannya.
Katanya Anwar ada bercakap soal video seks itu dengan beberapa Ahli Parlimen PKR termasuk beliau di bilik Ketua Pembangkang di tingkat 14 bangunan Parlimen semasa isu Elizabeth hangat tidak lama dulu.
" To me very simple ...bukan saya seorang yang dengar...pi tanya semua MP PKR...kalau nak bersumpah mari kita lawan bersumpah,"katanya.
Ditanya apa yang diberitahu Anwar di situ beliau berkata," dia kata apa yang disiar dalam internet ( gambar Elizabeth sedang tidur ) is nothing ...dia kata ada video lagi teruk dari tu... I have proof .
Menurut Zaharin sebelum tulis mengenai perbualan Anwar tentang video Elizabeth Wong itu dalam ucapan perbahasani Rancangan Malaysia Ke 10 Isnin beliau terlebih dahulu periksa balik fakta agar tidak silap.
Antaranya ialah dengan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu Zulkifli Nordin yang hadir sama masa perbualan itu.
"Kita bukan main lepas tak tentu hala...tak kan saya nak cakap benda tak wujud...kalau Anwar nak nafi dia boleh nafi."katanya.
Seorang lagi Ahli Parlimen Bebas dari Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, beliau turut berada di tingkat 14 ketika Anwar menjelaskan mengenai isu Elizabeth tetapi kemudian membuat penipuan mengatakan tidak pernah melihat video itu.
"Saya mengesahkan bahawa saya ada sama ketika taklimat itu dibuat di tingkat 14 Parlimen...dia cuba meyakinkan kami untuk ambil tindakan memecat YB Elizabeth Wong...dan kalau siapa tengok selepas itu saya ada keluar kenyataan minta Menteri Besar Selangor agar memecat Elizabeth Wong....sebabnya dari situlah.
Ditanya apakah Anwar ada beri apa-apa arahan semasa itu,Zulkifli kata beliau akan dedahkan hal itu kemudian.
Ditanya apa yang Anwar cakap masa perbualan berkenaan,beliau berkata," dia tengok sendiri ...bukan sekadar gambar yang tersebar tapi ada benda lain...dia sebut benda lain itu video...dia Ketua Umum PKR (jadi kami percaya). "
Katanya ada beberapa orang Ahli Parlimen PKR lain turut hadir.
Mengenai penafian Anwar pula beliau memetik ucapan perbahasan Zahrain merujuk pada Ketua Pembangkang itu dalam ucapan perbahasannya... lying is speaking to him ." Apa yang dia cakap kena check dulu," tambahnya.
Zahrain,Zulkifli dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata mereka tidak hairan kalau Anwar menafikannya.
Anwar seorang yang 'cakap tak serupa bikin' kerana sering membuat tuduhan dan mengugut akan mendedahkan bukti tetapi akhirnya beliau akan cuba mengubah ke isu lain, kata Wee.
Kata Zahrain lagi, "kalau dia nak nafikan, biasalah itu kepakaran dia. Saya sanggup bersumpah yang dia pernah kata dalam satu taklimat bahawa dia bukan saja pernah tengok gambar malah video Elizabeth juga.
Beliau juga menjelaskan tujuannya membangkitkan soal perbualan Anwar tentang video seks Elizabeth itu semata-mata untuk memberi contoh tentang pembohongannya.
Katanya beliau sendiri tidak tahu samaada video itu benar-benar wujud atau tidak.
Menurut Zahrain ia hanya berdasarkan apa yang Anwar beritahu mereka tentang video itu.
Katanya isu sebenar dalam hal ini ialah pembohongan Anwar.
" Bila dia buat tuduhan yang melulu ( dakwa MP PKR yang lompat parti terima RM2 juta) yang saya rasa serius sebab itu persoal intregriti kami ..dia nak tunjuk kami ni tak ada intregriti... tapi yang sebenarnya pembohong dia.
"Kami bukan nak serang peribadi cuma balas hujah apa yang dia kata dan beri contoh...bukan saja isu Elizabeth Wong tapi juga 16 September...sampai hari ni kita tak tengok adanya pengakuan bersumpah oleh MP BN ( 30 Ahli Parlimen BN yang Anwar dakwa nak lompat parti).Ini adalah contoh dia suka bohong.
Wee pula mencelah, " inilah orang yang cakap tidak serupa bikin."
Sunday, June 13, 2010
PERBAHASAN SEKADAR KUTUK UMNO,BN
Malah perbahasan ketiga-tiga sayap parti itu, Dewan Ulama, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat hambar tanpa sebarang kritikan daripada perwakilan dan kalau ada pun hanya seorang dua perwakilan yang lantang serta berani menegur kesilapan pemimpin mereka.
Ketika PAS sibuk untuk meraih sokongan bukan Islam bagi merealisasikan impian untuk ke Putrajaya tercapai sehinggakan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP), ia tidak lebih sekadar gimik untuk meraih sokongan bukan Melayu.
Dalam kalangan perwakilan parti itu, mereka melihat keghairahan PAS menarik sokongan bukan Islam sehingga mengabaikan pengundi tradisi boleh membawa kepada kejatuhan parti itu. Mereka menyifatkan pengundi tradisi terutama umat Islam adalah teras sebenar kekuatan parti itu, bukannya pengundi bukan Islam yang hadir secara bermusim.
Bagi perwakilan, pengundi Melayu yang dikatakan lebih memihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh kepemimpinan parti untuk meraih sokongan mereka, bukannya memberi tumpuan kepada pengundi bukan Islam sehingga melupakan pengundi asalnya.
Tindakan PAS yang membuka ruang kepada bukan Islam untuk bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum akan datang, juga menimbulkan pelbagai persoalan kepada akar umbi. Tanda tanya timbul adakah calon bukan Islam akan terus setia bersama PAS atau meninggalkan parti itu jika berdepan masalah seperti dialami rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sehingga kini rekod PAS masih cemerlang tanpa sebarang tindakan melompat parti dalam kalangan wakil rakyatnya, malah kerajaan PAS Kelantan yang pada satu ketika hanya berbeza satu kerusi dengan BN juga masih mampu mempertahankan kerajaan mereka, tetapi dibimbangi rekod itu akan rosak apabila calon bukan Islam bertanding, kerana bukan Islam tidak boleh berbaiah seperti mana wakil rakyat Islam.
Malah tindakan PAS yang sanggup menerima bukan Islam sebagai calon parti itu juga menimbulkan pelbagai tanggapan kurang menyenangkan sama ada parti itu mahu mengorbankan prinsip yang didukung sebelum ini atau PAS sudah tiada bezanya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang seperti PKR.
Keterbukaan PAS itu juga mungkin menimbulkan rasa kurang senang rakan sekutu mereka iaitu DAP. Apakah PAS sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan DAP atau sekadar 'bersama' untuk mencari peluang keemasan dan akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas sokongan rakyat pelbagai kaum diraih.
Dengan kata lain akar umbi masih belum bersedia untuk membuka ruang kepada bukan Islam menjadi calon parti itu kerana bimbang ia akan merosakkan dasar perjuangan PAS. PAS masih dianggap parti eksklusif orang Islam kerana kekuatan parti itu ditunjangi oleh orang Melayu beragama Islam sejak dari asal penubuhannya.
Ketika PAS sedang menanam impian melangkah ke Putrajaya, masih ada dalam kalangan perwakilan yang menyifatkan impian itu tidak akan tercapai jika tunjang kepada kekuatan UMNO dan BN masih gagal ditawan parti itu terutama pengundi kawasan FELDA yang tetap setia bersama BN.
Perwakilan juga mengkritik PAS kerana tidak memberi tumpuan kepada pengundi Felda dan hanya menemui pengundi teras kepada kekuatan BN itu apabila tiba pilihan raya. Lebih daripada itu pemimpin PAS yang masuk ke kawasan FELDA hanya bercakap isu nasional dan antarabangsa, bukannya usaha membela nasib warga FELDA.
Bagi penyokong PAS, jika Pahang yang memiliki kawasan FELDA paling banyak di negara ini gagal dikuasai pembangkang, PAS tidak perlu menaruh harapan untuk membentuk kerajaan baru pada pilihan raya umum akan datang. Ia masih jauh dan banyak lagi perlu diperbaiki.
Walaupun PAS dikatakan sedang melalui proses transformasi untuk menuju ke Putrajaya, hakikatnya perkara itu masih kabur dan parti itu kini dilihat tanpa hala tuju jelas.
Agak mengecewakan tahap perbahasan dalam kalangan perwakilan masih pada takuk lama, hanya sekadar menjadikan muktamar sebagai medan untuk mengkritik UMNO dan BN.
Tiada perbincangan khusus dengan lontaran idea bernas dikemukakan ahli dan kepemimpinan parti itu untuk membawa parti melangkah jauh ke depan. PAS kini cuba meniru gaya kepemimpinan PKR yang asyik memasang impian ke Putrajaya dengan beretorik.
Wednesday, June 9, 2010
KAJI SEMULA LARANGAN TERHADAP MAK YONG
Rohani Mat Zain, 55, yang dianggap sebagai primadona makyong selepas era Allahyarham Khadijah Awang berkata ini kerana persembahan kesenian itu tidak lagi mengamalkan aspek pemujaan seperti sebelum ini.
"Kami kini sudah memulakan persembahan dengan membaca doa selamat dan tidak lagi ada unsur pemujaan seperti dulu.
"Cuma kami akui artis yang mempersembahkan teater makyong ini adalah campuran lelaki dan perempuan bagi menghidupkan watak-watak tertentu dan juga pemuziknya adalah lelaki," katanya di Jeli semalam.
Sejak PAS mentadbir Kelantan pada 1990, beberapa persembahan kebudayaan negeri itu beransur-ansur dilarang daripada dipersembahkan secara terbuka kerana didakwa mengandungi unsur khurafat serta melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan.
Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi peresembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.
Namun selepas pengubahsuaian beberapa persembahan seperti wayang kulit , tinju siam termasuk snuker telah kembali dibenar diadakan secara terbuka di negeri itu.
Makyong antara kebudayaan Kelantan tertua di negeri itu yang telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli meminta kerajaan Kelantan melonggarkan syarat persembahan kesenian makyong di Taman Budaya Negeri apabila pusat kesenian pertama di Kelantan yang bernilai RM15 juta itu siap dan beroperasi sepenuhnya September ini.
Norliza dilapor berkata jika syarat itu tidak dilonggarkan ianya akan membantutkan usaha pihak jabatan untuk mengetengahkan kesenian tersebut sebagai warisan dunia.
Mengulas lanjut, Rohani berkata sebagai warisan dunia, makyong tidak seharusnya sepi di tempat sendiri sedangkan di negara luar persembahan kebudayaan itu dikagumi masyarakat antarabangsa.
Pernah mengadakan persembahan di beberapa negara asing, Rohani yang kini mengetuai Kumpulan Warisan Sari menyatakan kesanggupannya untuk bertemu sendiri Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu.
"Saya sanggup bertemu Datuk Nik Aziz bagi menyatakan harapan kami agar persembahan ini dibenar dipentaskan secara terbuka dan menarik semula larangan itu," katanya.
Beliau juga bimbang persembahan itu akan pupus memandangkan ada ibu bapa melarang anak-anak mereka daripada mempelajari seni tersebut.
Sementara itu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk membenarkan persembahan makyong diadakan secara terbuka sekiranya tokoh budaya dan seni mampu membuktikan persembahan kesenian itu tiada unsur khurafat yang bercanggah dengan hukum Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau pernah meminta tokoh budaya dan seni agar memberikan input bahawa kandungan seni seperti menora, main puteri dan makyong tidak bercanggah dengan hukum Islam.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk bersikap adil kepada penggiat seni di negeri ini dan keputusan larangan persembahan kesenian tersebut sebelum ini tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan yang menyatakan persembahan itu didapati mengandungi unsur yang bercanggah dengan Islam," kata beliau.
"Sebagai contoh persembahan yang ada jampi, kalau boleh dibuktikan bahawa ia bukan satu pemujaan dan satu benda yang tidak bercanggah, kita boleh pertimbang balik," katanya di Kota Bharu semalam.
Menurutnya kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dan mendengar hujah daripada tokoh budaya berhubung perkara itu.
"Secara peribadi saya pun tidak faham apa maksud jampi serapah itu, bagaimanapun saya cuba mengambil contoh orang main bola, kena pemanasan dulu, boleh jadi, apa yang dianggap jampi itu adalah sebagai pemanasan (dalam persembahan makyong) untuk hilangkan gemuruh sebelum membuat persembahan," kata Takiyuddin.
Kerajaan negeri sentiasa bersikap adil dalam memastikan seni itu kekal apa lagi seni makyong yang sememangnya sudah lama wujud dan bertapak di negeri ini, tetapi jangan ada elemennya yang bercanggah dengan hukum Allah tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa penggiat makyong Kelantan semalam yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.
Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi persembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.
Monday, June 7, 2010
LESEN JUDI SUKAN BELUM DIKELUARKAN
Daripada Malaysiakini
Kementerian Kewangan masih belum mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kerana kerajaan masih mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.
Pada satu jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan/memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.
"Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di malaysia.
"Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," kata kenyataan bertulis itu.
Jawapan ber tulis itu dikeluarkan bagi jawapan soalan Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Tian Chua (Batu) dan Loke Siew Fook (Rasah).
Pada sidang medianya, Tian Chua yang menerima jawapan bertulis itu mempertikaikan kenyataan awam Ascot Spot yang dibuat oleh pemiliknya, Tan Sri Vincent Tan.
"Ini adalah jawapan yang mengejutkan kerana sejak seminggu lalu, Vincent bercakap seolah-olah dia telah memiliki lesen itu. Malah dia dilaporkan berkata yang Pakatan Rakyat akan diheret ke mahkamah, jika negeri-negeri itu mengharamkan pertaruhan sukan,” katanya di lobi parlimen.
Tambahnya, jawapan itu tidak menjelaskan keadaan yang sebenar dan ada pihak yang menipu.
Pengarah strategi PKR itu juga mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang mengubah pendiriannya kerana gusar dengan kemarahan rakyat ataupun mungkin Tan tidak bercakap benar.
"Jawapan itu amat berlainan dengan gambaran yang diberikan oleh Vincent, adakah beliau begitu yakin akan diberikan lesen berkenaan?” katanya.