Friday, July 9, 2010

TUNTUTAN NAFKAH ANAK WAKIL RAKYAT PAS 21 DIS

Perbicaraan kes tuntutan nafkah anak bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor ditangguhkan sehingga 21 Disember ini berikutan Siti Aishah Chou Abdullah mengadu sakit.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Nik Najib Che Hassan menetapkan demikian hari ini selepas mendapat persetujuan daripada pihak plaintif dan defendan semasa kes itu disebut di kamar beliau kelmarin.

Siti Aishah selaku plaintif dan wakil rakyat daripada parti Pas, Wan Ismail Wan Jusoh yang dinamakan sebagai defendan, masing-masing tidak hadir kelmarin.

Siti Aishah diwakili peguam syarie, Mohd. Sibri Ismail manakala peguam syarie, Mohd. Zaki Zainal Abidin mewakili defendan.

Mohd. Sibri juga berkata, plaintif tidak akan meneruskan permintaan untuk mendapatkan khidmat jurubahasa Kemboja seperti yang dimohon sebelum ini, sebaliknya memilih untuk menggunakan bahasa Melayu.

"Usaha plaintif untuk mencari jurubahasa gagal justeru kami tidak berhajat untuk meneruskannya memandangkan plaintif masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun kurang fasih," kata Mohd. Sibri.

Pada 4 Januari tahun lalu, Siti Aishah memfailkan permohonan bagi menuntut bekas suaminya itu membayar nafkah keperluan asas sebanyak RM900 sebulan bagi setiap seorang anak mereka.

Sehubungan itu, Nik Najib pada 19 Februari 2009 mengeluarkan perintah sementara kepada Wan Ismail untuk membayar tuntutan nafkah RM500 sebulan bagi kedua-dua anak mereka, Wan Mohd. Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, sehingga perintah kekal diputuskan mahkamah kelak.

Siti Aishah, 25, yang berasal dari Kemboja berkahwin dengan Wan Ismail pada 2003 selepas setahun mengenali wakil rakyat itu dan pasangan tersebut disahkan bercerai oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 18 November 2008.

Selain tuntutan nafkah anak, Siti Aishah yang kini bekerja sebagai peniaga turut membuat tuntutan mutaah sebanyak RM3 juta terhadap bekas suaminya itu.

No comments: