Sempena bulan Ramadan, penjara Kelantan akan membebaskan sembilan tahanan yang berjaya mengikuti program Parol hari ini (Isnin) bagi membolehkan mereka bersama keluarga menjalankan ibadat puasa dan menyambut hari raya dengan sempurna.
Pengarah Parol Kelantan, Mat Yacob berkata mereka akan diserahkan kepada keluarga masing-masing yang akan datang ke pejabat Parol Kota Baharu, di Padang Bongor pukul 11 pagi ini untuk membawa pulang tahanan itu.
"Dengan pembebasan itu membolehkan bekas tahanan terbabit bersama keluarga menunaikan ibadat puasa dan menyambut hari raya Aidilfitri dengan lebih sempurna," katanya semalam.
Menurut Mat sepatutnya tahanan tersebut menjalani hukuman lebih lama sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah tetapi disebabkan berjaya mengikuti program Parol, tahanan terbabit dibebas lebih awal oleh kerajaan.
"Mereka tidak lagi dianggap memberi ancaman kepada penduduk dan diterima baik oleh ibu bapa di samping menjalankan ibadat serta mempunyai pekerjaan di tempat tinggal masing-masing," katanya.
Beliau berkata sejak pelaksanaan sistem Parol dua tahun lepas penjara Kelantan telah membebaskan 129 tahanan yang berjaya menjalankan program parol selama tempoh yang ditetapkan oleh pihak penjara.
Beliau berkata sepanjang tempoh program itu dijalankan, tahanan dibenarkan berada bersama keluarga masing-masing dengan pemantauan pihak penjara serta menjalani aktiviti harian di samping mengikuti program ibadat termasuk sembahyang terawih.
"Kalau ibu bapa tak dapat terima dia dan masyarakat tidak boleh mengawal, dia tidak boleh diberi peluang mengikuti program Parol, kerana syarat utama mesti diterima oleh ibu bapa dan masyarakat," katanya.
Beliau berkata terdapat 14 orang lagi tahanan termasuk seorang wanita berusia 31 tahun dari Kuala Krai sedang menjalani program Parol dan kini berada di rumah masing-masing untuk satu tempoh yang ditetapkan.
"Sekiranya mereka melakukan kesalahan (semasa menjalani sistem Parol) tindakan tegas akan diambil termasuk menambahkan tempoh penjara," katanya.
No comments:
Post a Comment