Tuesday, August 17, 2010

DINAR - KELANTAN BOLEH DIANGGAP MEMALSUKAN MATA WANG?

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS, Banting, Selangor
Utusan Malaysia


Apabila 1,000 peniaga tempatan bersetuju untuk mengiktiraf penggunaan syiling emas dan perak di Kelantan, ia menimbulkan satu isu sama ada ia sah di sudut undang-undang perbankan mahupun dari sudut kajian jenayah.

Bank Negara melalui Gabenornya menganggap ia melanggar undang-undang negara kerana mewujudkan mata wang yang baru dan tidak diiktiraf oleh pihak mereka.

Seperti biasa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan orang kuat beliau, Husam Musa menyanggah pendapat mengatakan ia salah kerana ia diwujudkan berdasarkan sistem barter atau tukar barang.

Isu syiling emas dan perak yang dianggap membelakangi undang-undang negara menjadi suatu isu yang wajar disiasat dan dikaji legitimasinya.

Kesalahan memalsukan wang di negara ini mempunyai modus operandi di mana duit bernilai tinggi seperti RM50 dan RM100 dipalsukan dengan rupa dan bentuk yang sama menggunakan alat pencetak bermutu tinggi.

Kini apabila Kerajaan Kelantan dibenarkan mencipta sistem kewangan mereka sendiri menunjukkan sudah tidak wujud prinsip Persekutuan dalam negara ini.

Bila kerajaan negeri menggunakan mata wang tersebut sebagai sesuatu yang sah, kita seharusnya terpanggil di bawah akta atau enakmen mana diguna pakai oleh Tok Guru untuk membenarkan tindakan mereka.

Cadangan dinar emas yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih lagi dikaji dan dibahaskan di peringkat dunia. Tiba-tiba sahaja idea beliau diceduk sedemikian rupa dan jelas bercanggah dengan prinsip kenegaraan yang mana tiada undang-undang yang melindungi pengguna mata wang dinar ini secara holistik.

Apa akan jadi kepada pengguna sistem ini apabila mereka boleh dituduh bersubahat memiliki mata wang yang tidak sah kerana melanggar undang-undang Bank Negara malahan Bank Dunia.

Kerajaan Kelantan sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan peniaga yang menggunakan mata wang tersebut. Seolah-olah ada udang di sebalik batu apabila mata wang ini diperkenalkan kepada mereka.

Sokongan kepada kerajaaan negeri sudah pasti akan berterusan kerana hanya kerajaan ini yang akan mengiktiraf mata wang tersebut. Apa akan jadi jika Barisan Nasional menguasai Kelantan dan kerajaan baru menganggap mata wang dinar itu tidak sah, bukankah peniaga mengalami kerugian besar.

Ada banyak lagi cara untuk kerajaan Kelantan membuat perubahan dalam sistem kewangan Islam kerana sebagai sebuah negeri, kuasa perlembagaan mereka terhad untuk perkara-perkara tertentu sahaja.

Kebaikan sesuatu sistem ialah apabila ia diguna pakai oleh ramai orang dan mereka mudah memahami pantang larang penggunaan sesuatu sistem tersebut. Apakah dana lindung nilai yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Kelantan?


Bagi mata wang negara iaitu Ringgit Malaysia, rezab menjadi sandaran. Apakah perhitungan matematik dalam dinar emas dan perak di Kelantan?

Bagaimana orang luar hendak berniaga dengan 1,000 peniaga di Kelantan itu. Adakah mereka pun perlu membeli dinar emas dan perak. Apakah jaminan duit dinar emas ini setara dengan nilai barang yang ditukar kerana kelemahan sistem barter adalah memperincikan nilai dengan tepat hingga menimbulkan ketidakadilan dalam sesuatu transaksi.


Hari ini, mengubah sistem bukan perkara yang mudah kerana banyak yang perlu dikorbankan, dari masa, pengiktirafan, konflik nilai dan penerimaan umum perlu difikirkan oleh pentadbir Kelantan sebelum mengatakan tiada cacat dan cela dalam perancangan dan pelaksanaan sistem kewangan baru mereka.

Pihak Jabatan Peguam Negara yang bijaksana perlu memperhalusi rentak kerajaan Kelantan ini.


Jika tuduhan memalsukan wang boleh dilakukan, segera jelaskan kepada umum.


Cukuplah isu air dan pasir mengelirukan rakyat di Selangor, jangan pula rakyat Kelantan jadi pening kepala apabila rumah mereka sering dirompak kerana ingin mencari dinar emas yang membawa nilainya sendiri.

No comments: