Wednesday, August 25, 2010

JP KELANTAN SAMPAIKAN WANG ZAKAT

Shukri Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada wakil keluarga miskin di Kota Bharu, semalam.

Majlis Jaksa Pendamai (JP) negeri menyampaikan wang zakat berjumlah RM34,000 kepada 340 orang fakir miskin terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.

Penyerahan wang zakat itu disampaikan oleh Presiden JP negeri, Datuk Shukri Mohamad dalam satu majlis di Berek 12 di Kota Bharu, semalam.

Shukri ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan program tahunan JP setiap kali Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengumpulkan wang zakat di kalangan ahli-ahli untuk diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti oleh wakil-wakil JP di seluruh negeri.

"Pihak kami merasakan turut bertanggungjawab meringankan perbelanjaan mereka sepanjang bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya ini," katanya di sini, semalam.

Shukri berkata, selain anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, turut menerima bantuan wang zakat itu ialah pelajar tahfiz.

Beliau mengakui, ada sesetengah individu yang berasa malu untuk menerima bantuan wang zakat sungguhpun mereka hidup dalam kemiskinan.

Justeru katanya, pihaknya terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan bagi membolehkan golongan tersebut dapat disenaraikan sebagai antara penerima bantuan.

"Kita berharap sumbangan ini membolehkan mereka membuat persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini dan sama-sama meraikannya dengan rasa gembira," katanya.

No comments: