Nik Suzila Nik Hashim bersama dua anaknya, Siti Aishah Muhaimin dan Shafiqah melihat gambar Allahyarham Mohd. Adam Muszhaffar yang disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia, di rumahnya di Kg Sungai Budor, Kota Bharu, 25 Ogos. Mohd Adam Muszhaffar maut selepas disembelih bapanya sendiri. - Utusan
Seorang lelaki berusia 33 tahun yang sedang menerima rawatan di hospital di Kota Bharu , dikenakan perintah reman berhubung kematian seorang kanak-kanak berumur tiga tahun semalam akibat disembelih.
Pendaftar Kanan Mahkamah di sini, Rashid Mustafa, memaklumkan bahawa mahkamah telah mengeluarkan reman selama lima hari bermula hari ini.
Rashid yang hadir bersama seorang jurubahasa dan seorang kerani jenayah di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 11.05 pagi tadi turut dilihat menemui doktor yang merawat suspek sebelum mengajukan beberapa soalan kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, suspek yang kelihatan lemah kerana turut cedera di leher akibat tindakannya cuba mengelar lehernya sendiri, dilihat lebih banyak menggeleng kepala tanpa bercakap.
Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Budor dekat sini semalam, Mohd. Adam Muzaffar Muhaimi mati di tempat kejadian manakala lelaki yang menyerangnya cedera di leher dipercayai akibat cuba mengelar dirinya sendiri.
Lelaki terbabit yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kota Baharu itu dipercayai pernah mendapat rawatan mental.
Difahamkan, Muhaimin bertindak demikian selepas dia gagal mengawal diri apabila dia didakwa telah lama tidak memakan ubat sakit mental.
Dalam kejadiam semalam, ibu kepada Mohd Adam melihat suaminya menyembelih anak lelaki kesayangan mereka di dalam bilik air walaupun merayu berkali-kali supaya si suami tidak meneruskan niatnya.
Kejadian menyayat hati itu berlaku di Kampung Sungai Budor. Mohd. Adam Muszhaffar Muhaimin, 3, meninggal dunia selepas lehernya hampir putus disembelih oleh bapanya, Muhaimin Sautar, 33, dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu.
Menurut laporan Kosmo dan Harian Metro, selepas menyembelih anaknya yang memakai jersi tertera nama pemain bola sepak Rusia, Andrei Arshavin yang kini mewakili pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Muhaimin cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi tindakan itu gagal apabila dia diselamatkan penduduk.
Jiran-jirannya kemudian bertindak menghubungi polis sebelum dia dibawa oleh pasukan keselamatan itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.
Mangsa merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik. Dia mempunyai seorang kakak, Shafiqah, 8, dan seorang adik, Siti Aishah, 2.
Isteri Muhaimin, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata, sebelum kejadian, suaminya mengadu panas badan dan dia kemudian duduk di bawah rumah berhampiran dengan bilik air rumah mereka.
Ketika itu kira-kira jam 12 tengah hari, dia dan suaminya sempat berbual-bual sebelum suaminya berjalan ke arah dapur sambil diekori Mohamad Adam Muszahffar.
Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan kuat Mohamad Adam Muszahffar dan pada mulanya menyangka anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh di dapur.
“Saya segera ke dapur dan terkejut melihat anak saya terkulai berlumuran darah disembelih suami. Saya tak sangka dia sanggup berbuat begitu. Saya mampu menjerit dan makin terkejut apabila suami cuba mengelar lehernya sendiri,” katanya.
“Luluh hati saya tatkala melihat suami saya bersungguh-sungguh menyembelih Mohd. Adam. Ketika itu suami berada di atas Mohd. Adam tanpa bersuara walaupun saya memintanya supaya berhenti.
“Saya hanya mampu melihat darah membuak-buak mengalir ke lantai sehinggalah Mohd. Adam terkulai kaku dan tidak lagi bernyawa,” ceritanya semalam.
Menurut Nik Suzila, turut berada di rumah ketika kejadian, anak bongsunya, Siti Aisyah, 2, manakala anak sulung, Nur Syafikah, 8, berada di sekolah.
Muhaimin kemudian ditahan polis.
No comments:
Post a Comment