Thursday, August 12, 2010

KELANTAN CADANG TUBUH PUSAT PENGAJIAN PONDOK MODEN PERTANIAN

Kerajaan Kelantan bercadang menubuhkan pusat pengajian pondok moden pertama di negeri ini yang menggabungkan pendidikan ilmu agama dan pertanian berasaskan tanah tinggi tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata penubuhan pusat pengajian agama moden itu perlu bagi melengkapkan generasi muda dengan ilmu agama dan pengetahuan dalam bidang pertanian menggunakan teknologi moden.

Katanya ini selaras dengan kawasan pembangunan tanah tinggi yang dinaik taraf sebagai sebuah jajahan kecil di Ulu Kelantan, minggu lepas.

Hasrat penubuhan pusat pengajian pondok itu sudah lama dan pernah dicadangkan di Gua Musang, tetapi kawasan tersebut tidak sesuai, katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, kelmarin.

Ahmad berkata untuk tujuan itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal RM1 juta untuk penyediaan tapak di suatu lokasi di daerah kecil Lojing itu.

"Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) juga diarah menyiapkan kertas kerja asas bagi pelaksanaan projek itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan itu juga berkata langkah yang diambil oleh kerajaan itu bersesuaian dengan matlamat kerajaan yang bukan sahaja untuk melahirkan rakyat yang mempunyai modal insan berilmu agama, tetapi berkemahiran dalam bidang teknikal dan kehidupan moden.

"Sebelum ini, ramai yang melihat sekolah pondok sebagai suatu sistem pendidikan yang jumud dan tidak mampu menangani tuntutan hidup di zaman sains teknologi sekarang ini.

"Tetapi dengan wujudnya sistem pendidikan ini, ia akan mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan agama yang kini setanding dengan pendidikan moden," katanya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Islam Kelantan Ahmad Robert Abdul Rahim dalam ucapannya berkata YIK dalam rangka strateginya 2010-2011 akan memastikan sekolah agama dan maahad tahfiz di bawah kendaliannya meningkatkan bidang akademik di kalangan pelajar mengikut kemampuan yang ada.

Beliau berharap melalui maahad tahfiz sains yang ditubuhkan itu, mereka dapat menimba ilmu agama yang ada dan digabungkan dengan teknologi moden yang bakal diwarisi generasi muda masa kini dan akan datang.

No comments: