Institusi perbankan, rangkaian hotel dan kebanyakan peniaga negeri ini mengutamakan Ringgit Malaysia (RM) dalam urusan perniagaan berbanding Dinar Emas atau Dirham Perak yang dilancarkan Kerajaan PAS Kelantan pada Rabu lalu.
Bank Islam Malaysia Bhd, menafikan ia menggendalikan transaksi mata wang Dinar dan Dirham, sebaliknya menerusi unitnya, Farihan Corp, hanya menawarkan perkhidmatan penyimpanan mata wang dinar emas/dirham di premis Ar-Rahnu di Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam, bank itu berkata gadaian mata wang dinar/dirham juga diterima daripada pemilik mata wang dinar-dirham, sama ada daripada Kelantan Golden Trade Sdn Bhd atau orang ramai.
“Pada masa ini, bank tidak menyediakan perkhidmatan akaun simpanan emas atau mengedar mata wang dinar/dirham dalam apa bentuk transaksi,” katanya sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bahawa bank itu bersetuju menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaganya.
Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Bharu, Abdul Malik Zainal Abidin, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima arahan untuk menerima dinar dan dirham itu dalam sebarang urusan.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mematuhi peraturan Bank Negara Malaysia (BNM), memandangkan dinar dan dirham tidak diperakukan sebagai mata wang.
"Kita tidak menerima sebarang arahan berhubung penerimaan dinar dan dirham dalam urusan bank. Malah berdasarkan kenyataan BNM sebelum ini, dinar tidak diperakukan dan disahkan sebagai mata wang," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, melancarkan Dinar Emas dan Dirham Kelantan sebagai mata wang alternatif untuk pelbagai urusan termasuk perniagaan, membeli-belah dan pembayaran zakat di negeri ini.
Kira-kira 1,000 premis perniagaan sekitar bandar ini termasuk Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Bazar Buloh Kubu dan Pasar Siti Khadijah, sedia menerima dinar dan dirham terbabit sebagai medium jual beli.
BNM dalam kenyataannya sebelum ini, menegaskan hanya RM sah diperlakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini, sekali gus menolak penggunaan mata dinar dan dirham diperkenalkan Kelantan.
Pengurus Jualan dan Perhubungan Hotel Renaissance Kota Bharu, Nik Adura Zuliana Nik Rashid, berkata setakat ini dinar emas tidak diterima dalam urusan hotel itu.
"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang arahan untuk berurusan menggunakan dinar emas. Kita masih menggunakan RM, selain beberapa mata wang asing termasuk Dolar Amerika Syarikat dan Pound Sterling," katanya.
Pemilik Zubaidah Collection, Zubaidah Jaafar, 41, berkata setakat ini belum ada pelanggannya yang menggunakan dinar dan dirham untuk urusan pembelian di kedainya.
No comments:
Post a Comment