Saturday, September 18, 2010

FAM PATUT KENAKAN TINDAKAN TERHADAP KAFA

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam isu tindakan liar penyokong Kelantan seperti membaling mercun semasa berlangsung perlawanan.

Kecuali KAFA sendiri sanggup memberi jaminan kejadian seumpama itu tidak akan berulang, kata Shabery kepada pemberita di Kemaman hari ini.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir penyokong Kelantan yang membaling mercun ketika perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia, menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lepas.

Shabery berkata, penyokong Kelantan bagaikan tidak serik walaupun KAFA kerap didenda dan dikenakan pelbagai hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM musim lalu, angkara kelakuan penyokong Red Worriors.

"Saya anggap penyokong pasukan Red Warriors sebagai model kerana dari pasukan yang serba kekurangan mereka berjaya bangunkan sukan itu sebagai satu industri dengan menjual pelbagai barangan pasukan Red Worriors," kata Shabery.

Insiden semasa perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0 kepada pasukan Negeri Sembilan itu bermula selepas pengadil, Yusof Mat Karim memberikan tendangan penalti apabila pertahanan tuan rumah, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim di dalam kotak penalti.

Keputusan pengadil itu mengundang 'kemarahan' penyokong Red Warriors, menyebabkan ada yang membantah dan bertindak membakar dan membaling mercun. KAFA pernah didenda sebanyak RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil November tahun lepas.

No comments: