Saturday, September 18, 2010

PERMOHONAN HABEAS CORPUS BEBAS TUANKU ISMAIL 21 OKTOBER

Permohonan writ habeas corpus bagi pembebasan bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang ketika itu dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akan didengar Mahkamah Khas pada 21 Oktober ini.

Pendaftar Mahkamah Khas, Harmi Thamri Mohamad menetapkan tarikh berkenaan dalam kamar, di Putrajaya semalam, apabila permohonan itu disebut di hadapannya bagi pengurusan kes.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Tuanku Ismail Petra ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah juga menetapkan 14 Oktober ini bagi pengurusan lanjut kes berkenaan.

Permohonan habeas corpus itu difailkan 7 Mei lalu bagi mendapatkan pembebasan Tuanku Ismail Petra dari HUSM dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan mengikut pilihannya.

Permohonan itu yang menamakan baginda sebagai plaintif turut disokong oleh afidavit putera ketiga, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra. Ia menamakan lima defendan iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Pengarah HUSM, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.

Isnin lalu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya.

Sementara itu, Gobind berkata, pihaknya akan membalas afidavit responden dengan memasukkan fakta serta perkembangan terbaru bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan.

Turut mewakili Tuanku Ismail Petra, peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Datuk Haaziq Pillay, Adam Abdullah mewakili Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah HUSM, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said mewakili Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

No comments: