Wednesday, September 22, 2010

KANSER SERVIKS ANCAMAN KEDUA TERTINGGI DI KELANTAN

Kanser serviks atau barah pangkal rahim merupakan kanser kedua tertinggi yang mengancam nyawa wanita di Kelantan selepas kanser payu dara, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK) Dr Mohd Kamil Hassan.

Beliau berkata berdasarkan laporan tersebut, kejadian kanser serviks di negeri ini adalah 7.3 bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding dengan Pulau Pinang iaitu 13.1 bagi setiap 100,000 penduduk dan Pahang (6.7/100,000).

"Mengikut laporan Cancer Registry 1999-2003, kanser serviks merupakan kanser yang kedua tertinggi menyerang kaum wanita di Kelantan selepas kanser payu dara.

"Kanser serviks adalah berkait rapat dengan jangkitan Human Papillomavirus (HPV), oleh itu pelalian (imunisasi) bagi mencegah jangkitan HPV dalam kalangan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu strategi bagi program pencegahan kanser serviks di samping pengesanan awal melalui ujian Pap Smear dalam kalangan wanita," katanya di Kota Bharu. hari ini.

Beliau berkata pemberian imunisasi HPV boleh memberi perlindungan kepada para gadis yang belum dijangkiti virus itu dan seterusnya melindungi hampir 80 peratus wanita daripada mendapat kanser serviks.

"Bagi mencegah kanser tersebut, kerajaan telah memulakan program suntikan imunisasi HPV kepada semua pelajar perempuan Tingkatan satu ataupun remaja perempuan berumur 13 tahun (dengan kebenaran ibu bapa) pada tahun ini".

Dr Kamil berkata memandangkan imunisasi HPV hanya boleh memberi perlindungan hampir 80 peratus daripada mendapat kanser serviks, adalah perlu bagi wanita menjalani ujian Pap Smear bagi mengesan kanser tersebut untuk diberikan rawatan segera.

Katanya pada tahun lepas, seramai 25,320 atau 50.67 peratus daripada 49,970 wanita di negeri ini telah menjalani ujian Pap Smear dengan 5 atau 0.02 peratus daripadanya dikesan positif kanser serviks.

"Diharap lebih ramai wanita tampil (mengambil) ujian Pap Smear yang boleh dilakukan di mana-mana Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan secara percuma atau klinik swasta," katanya.

1 comment:

armouris said...

info tentang kanser serviks di SIHAT SELALU - Kanser Serviks Membiak Senyap