Wednesday, September 1, 2010

'PERANG SAUDARA' RANTAU PANJANG SUDAH BERAKHIR

‘Air yang dicincang tak akan putus’, itulah kata-kata yang sesuai mengenai kemelut politik yang berlaku di Bahagian UMNO Rantau Panjang.

Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebelum ini mengatakan keutamaannya ialah mengatasi kemelut ini.

Akhirnya 'perang saudara' selama dua tahun UMNO bahagian Rantau Panjang berakhir semalam apabila pihak kepimpinan dan bekas pemimpin bahagian itu bersetuju untuk berdamai demi perpaduan parti.

Pengumuman perdamaian itu dibuat oleh ketiga-tiga pihak iaitu Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohamad Zain Ismail serta bekas Bendahari UMNO bahagian itu, Ghazali Ismail.
Majlis itu berlangsung dalam satu pertemuan dengan anggota jawatankuasa bahagian, penyokong mereka dan disaksikan Bendahari Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanapi Mamat di Pusat Kegiatan Kemas Rantau Panjang, Lubok Jong .

Pada 4 Ogos lalu, Mustapa menyatakan keyakinannya Umno Bahagian itu dapat disatukan kembali melalui mesyuarat dan pertemuan semua pihak yang bertelagah.

Mustapa berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat ialah mengukuhkan perpaduan anggota dan merangka program-program bagi mengembalikan kekuatannya dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian secara berasingan pada Jun lepas.

Satu mesyuarat dijalankan oleh ketua bahagian Abdullah Mat Yassin manakala satu lagi oleh bekas ketua bahagian itu Datuk Mohd Zain Ismail pada hari yang sama.
Berikutan itu Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan meminta Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

Mustapa berkata beliau telahpun mengadakan pertemuan dengan biro politik badan perhubungan, dan juga mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian Rantau Panjang.

Menurut Mustapa, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rantau Panjang yang dijalankan oleh Abdullah adalah sah dan tidak menjejaskan status perwakilan yang dipilih ke Perhimpunan Agung UMNO.

Apa yang berlaku pada masa itu, katanya, ialah satu lagi kumpulan anggota bahagian itu yang tidak mempunyai locus standi telah mengadakan mesyuarat berasingan, "barangkali untuk menunjukkan kekuatan".

"Mesyuarat itu tidak diiktiraf oleh ibu pejabat UMNO. Yang diiktiraf ibu pejabat cuma satu iaitu jawatankuasa yang dipilih pada pemilihan parti 2008 yang lalu," katanya.

Dalam ucapannya semalam, Mohamad Zain berkata, kemelut yang berlarutan sekian lama itu berjaya diselesaikan dengan beberapa perkara yang dibincangkan mendapat tolak ansur daripada kedua-dua pihak.

Perpecahan berlaku di bahagian itu sejak 2008 menyebabkan wujud dua puak iaitu pimpinan Abdullah dan Mohamad Zain.

Berikutan itu, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan pada 22 Julai lepas agar Pengerusi Badan Mustapa menyelesaikan masalah itu.

1 comment:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

masaalah pengurusan dan pentadbiran la ni.

apa pulak kemajuan operasi geraksaraf memenangi undi pengundi2 ???

dua-dua kawan ambo ni. ok la tu dua2 datuk belako doh....hebat doh tu