Monday, October 4, 2010

BENARKAH 'TIADA BEBAN BATU DIGALAS?"

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS (Banting, Selangor)
Utusan Malaysia 4 September 2010

Bidalan Melayu iaitu 'tiada beban, batu digalas' bermaksud tiada perkara penting lain hendak dilakukan sehingga perkara yang tidak membawa faedah atau remeh-temeh lebih diutamakan. Namun dalam konteks itu, Kelantan tidak lama lagi akan mengadakan pilihan raya kecil ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut.

Beban kini terletak pada parti bertanding untuk memenangi hati pengundi.

Isu panas semasa yang menyelubungi kerajaan Pas Kelantan dari soal penolakan pelaburan RM4 bilion dari negeri tersebut dan dikatakan bakal mengalir ke negeri Jelapang Padi Kedah dilihat bakal dijadikan modal kempen nombor satu, selain isu royalti minyak yang belum ada jalan damainya.

Isu sub-primanya amat mudah, adakah dengan terlerainya isu royalti minyak tersebut, maka perpaduan Melayu antara Pas dan UMNO akan menjadi kenyataan.

Pada pengakhirannya hanya Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pas yang boleh memberi kata putus. Maka sesi pertikaman lidah kedua pihak disertai siri fatwa semasa Nik Aziz yang membela rakan sepakat bakal menjadi bahan pembakar kempen di Galas kelak.

Suasana politik hari ini dilihat memihak kepada calon Barisan Nasional yang mempunyai banyak kelebihan dari isu semasa yang hangat diperkatakan.

Daripada sumbangan wang ihsan sebanyak RM100 kepada orang miskin di Pulau Pinang yang menjadi isu kerana dikatakan bersumber dari wang judi yang jelas melanggar sensitiviti masyarakat Pulau Pinang beragama Islam hinggalah isu perbalahan pemilihan dalaman cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini.

Isu wang judi walaupun telah dijelaskan oleh Lim Guan Eng yang berkata ia merupakan dana halal yang berasingan dari wang haram, namun tetap mendatangkan was-was dalam soal halal haram dalam Islam.

Imej pentadbiran Khalifah Umar Abd Aziz (Bani Abbasiah) jelas mencalar pakatan pembangkang yang turut dianggotai Pas apabila isu ini dibangkitkan baru-baru ini.

Apa yang menjadikan isu ini hangat apabila Nik Aziz sebagai seorang pemimpin yang juga cendekiawan agama membela tindakan memberi sumbangan dari dana yang syubhah dan meragukan.

Ini yang memeningkan dan menimbulkan keraguan munasabah dalam masyarakat Islam sama ada setiap kesalahan yang dibuat oleh seorang pemimpin kelompok yang dianggap saing (kawan) akan disokong dengan dalil yang diragui juga.

Ibarat kisah gembala dan serigala yang cuba bergurau dengan orang kampung bahawa kambingnya dimakan serigala telah bergurau meminta tolong sebanyak dua kali, namun kali ketiga apabila serigala sebenar membaham ternakannya, tiada siapa yang percayakan kata-katanya lagi.

Dalam konteks fatwa Nik Aziz bahawa tuhan pun mencarut dan lain-lain fatwa lagi yang mendatangkan keraguan umat Islam, ia dilihat sebagai justifikasi yang mampu mengundang perpecahan dalam masyarakat yang bersatu-padu.

Apabila semakin banyak fatwa mengundang tanda tanya, ditakuti bukan sahaja orang tidak percaya kepada fatwa yang diputuskan, malahan pada masa depan akan wujud mazhab bersandarkan fatwa politik melampaui addin Islam yang telah lengkap di bawah Mazhab Shafie.

Wajarkah kita terus memberi kepercayaan kepada pemimpin yang membolehkan segalanya sehingga pernah pada tahun lalu Nik Aziz terpaksa melupakan niatnya untuk ke Mekah akibat isu tajaan pihak luar yang dianggap rasuah, itu pun setelah menjadi isu nasional.

Nasib baik tiada fatwa yang membenarkan perkara itu dikeluarkan.

Isu fatwa dan isu pelaburan RM4 bilion oleh sebuah syarikat korporat yang ditolak oleh kerajaan negeri Kelantan akibat masalah yang sukar dijustifikasikan itu bakal mengundang spekulasi yang menghangatkan setiap ceruk kawasan dalam Parlimen Gua Musang itu kelak.

Hari ini, masyarakat setempat perlu menilai tindakan Pas sebagai anggota pakatan pembangkang dan bukan sebagai pemerintah negeri Cik Siti Wan Kembang semata-mata. Kemajuan dan pembangunan yang bakal datang di kawasan tersebut perlu diraih oleh rakyat di sana.

Isu semasa perlu menjadi panduan untuk mereka membuat pilihan yang tepat. Walaupun UMNO dituduh dengan bermacam tohmahan oleh pihak pembangkang, namun setakat ini ia masih diberkati dengan sokongan majoriti rakyat yang inginkan pembangunan yang bersepadu dari ekonomi, sosio-budaya, infrastruktur dan lain-lain lagi.

Inilah peluang untuk membuat perubahan dalam landskap kepimpinan negeri.

Sesungguhnya tanggungjawab membuat perubahan ini perlu digalas oleh pengundi di Galas dan jangan jadikan ia sebagai 'batu' penghalang untuk menghirup kemajuan.

Tunjukkan beban yang ada bukan sekadar digalas tetapi diatasi dengan penuh tanggungjawab. Biar Galas membuktikannya.

1 comment:

Mohamad Syardanie Anuar said...
This comment has been removed by the author.