Wednesday, October 13, 2010

PENDERMAAN ORGAN DI KELANTAN MASIH SIFAR

Masyarakat Kelantan masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai kepentingan menderma organ disebabkan kurangnya maklumat berkaitan.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, dalam tempoh antara 2009 sehingga semalam, hanya 185 individu yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi penderma organ dengan mengisi borang ikrar.

Beliau berkata, kurangnya maklumat berkaitan pendermaan organ dikatakan punca orang ramai tidak mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai perkara tersebut.

"Dalam situasi biasa, kecenderungan menderma kepada insan lain tidak berlaku sehinggalah menimpa diri atau ahli keluarga terdekat dan hal tersebut berlaku di mana-mana.

"Misalnya di Kelantan, bilangan penderma darah boleh dibanggakan, malah dalam kes-kes kecemasan kita tidak lagi tercari-cari darah yang sesuai kerana mempunyai penderma tetap tetapi sebagai penderma organ masih sifar.

"Situasi ini bukan sahaja berlaku di sini tetapi di seluruh negara. Mengikut sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur menujukkan daripada 17 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, hanya 134,596 orang sahaja yang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Promosi Pendermaan Organ anjuran Jawatankuasa Perolehan Tisu Organ (Top Team) dan Unit Pendidikan HPRZ II yang dihadiri hampir 100 peserta di Kota Bharu, semalam.

Dr. Ghazali Hasni berkata, seminar itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma organ, seterusnya mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

"Negara memerlukan pendermaan organ kerana kebanyakan pesakit menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati boleh dirawat dengan kaedah pemindahan organ.

"Organ-organ ini pula boleh diperoleh dari penderma kadaver atau yang telah mati dan sebahagian kecil penderma hidup," ujarnya.

Dr. Ghazali Hasni turut mengakui bahawa persepsi dari segi agama dan budaya masih membatasi hasrat seseorang individu untuk mendermakan organ terutama selepas berlaku kematian.

"Sesetengah waris merasakan proses pendermaan menyebabkan kesakitan kepada jasad si mati atau bimbang dengan kecacatan setelah organ dikeluarkan dari jasad.

"Ada juga persepsi menderma organ bertentangan dengan ajaran agama dan khuatir kalau-kalau si mati tidak sempurna sifat pada kehidupan selepas kematian," ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Nefrologi HPRZ II, Dr. Sukeri Mohamad dalam kertas kerja bertajuk 'Mati Otak' memberitahu, pendermaan atau pemindahan organ hanya layak dilakukan terhadap orang yang telah mengalami mati otak.

No comments: