Thursday, October 7, 2010

P'RAYA DUN GALAS 4 NOV, PENAMAAN CALON 26 OKT

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Oktober.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 Sept lepas berhubung kekosongan kerusi DUN N.45 Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept.

"Berikutan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di Putrajaya semalam.

Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada Barisan Nasional (BN), mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

"Pengundi di Galas ini, yang berumur 21 tahun pun ada, yang lebih 100 tahun pun ada, yang paling tua berumur 111 tahun," katanya.

Wan Ahmad berkata Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai pusat penamaan calon dan Dewan Pusat Sivik Gua Musang sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu berikutan kawasannya luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter.

Katanya 323 petugas terlibat sepanjang pilihan raya kecil itu.

Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan lebih 81 peratus pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu iaitu peratusan pada pilihan raya umum lalu berikutan tumpuan kini terarah pada kawasan berkenaan.

Katanya bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan.

Beliau turut meminta parti-parti politik, calon, petugas, penyokong parti serta individu lain yang terlibat supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan.

No comments: