Thursday, October 7, 2010

CALON ORANG ASLI UNTUK PERSENDA KU LI

Daripada www.hambali1.blogspot.com

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata semalam SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 September lepas berhubung kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept.

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan berikutan wakil rakyat, Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada Barisan Nasional (BN), mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Pada ketika SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi, dua kenyataan PAS Kelantan semalam menarik perhatian.

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa bahawa parti itu sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi DUN Galas membawa banyak makna.

Kata Husam ini tidak mustahil jika ada calon yang sesuai dan setelah diambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

Beliau mengulas kenyataan ketua masyarakat Orang Asli dari Galas, Pandak a/l Panjang Ey bahawa pihaknya mempunyai jentera gerak gempur parti sendiri untuk membantu kempen pilihan raya itu dan tidak mahu parti politik mengganggu dan masuk berkempen di kawasan penempatan Orang Asli.

Husam memberi alasan PAS menerima calon dari semua pihak dalam menghadapi pilihan raya selaras dengan dasar parti itu untuk semua.

Namun kenyataan Husam selalunya ‘penuh bermakna’. Apakah Husam sengaja menyatakan PAS bersedia meletakkkan calon Orang Asli sebagai mempersendakan UMNO dan Barisan Nasional yang mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di situ?

Atau PAS awal-awal sudah merasakan mereka akan kecundang dan daripada menanggung malu meletakkan calon mereka, PAS Kelantan lebih rela ‘menggadaikan maruah’ dengan meletakkan calon Orang Asli.

Kenyataan Husam berbeza dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS sudah ada calon.

Nik Aziz mengatakan pihaknyta tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu biarpun Anggota Parlimen tersebut pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya semalam. Nik Aziz mengatakan PAS sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang mneyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya.

Apakah Nik Aziz akan tertarik dengan cadangan Husam untuk meletakkan Orang Asli jika Tengku Razaleigh menjadi calon.

Kita sama-sama tunggu nanti.

Apapun, pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

Wan Ahmad berkata Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai pusat penamaan calon dan Dewan Pusat Sivik Gua Musang sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu berikutan kawasannya luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter. Katanya 323 petugas terlibat sepanjang pilihan raya kecil itu.

2 comments:

Unknown said...

PRK Galas Harapan BN semakin cerah.....Tengku Razaleigh akhirnya menerima pencalonan....berita seterusnya disini

Bingai @ Bangang said...

memang sengaja nak nyakitkan hati Ku Li kot sebab Ku Li sanggup jadi orangtengah hal royalti bukannya sebagai wakil mereka?

Aku Yang Bingai
PRK DUN Galas - Siapa Menghina Siapa Terhina