Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual bermula pada 1 Nov ini ditangguh kepada 7 Nov, kata Speaker DUN Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Jumaat.
Beliau berkata penangguhan bagi membolehkan semua anggota dewan dapat memberi perhatian penuh kepada persidangan DUN memandangkan proses pilihan raya kecil DUN Galas telah selesai ketika itu.
"Keputusan penangguhan itu diputuskan semalam dan keputusan ini bagi membolehkan semua dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada persidangan DUN yang akan memfokuskan kepada pembentangan bajet 2011.
"Ini adil kepada semua pihak yang mungkin tidak dapat beri tumpuan kerana ketika itu pilihan raya kecil Galas sedang berlangsung," katanya di Kota Bharu.
Beliau berkata persidangan akan berlangsung sehingga 11 Nov.
Persidangan DUN sebelum ini dijadual berlangsung dari 1 Nov hingga 10 Nov.
Baru-baru ini Mohd Nassuruddin dilapor berkata persidangan itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan dan hanya ditangguh sehari iaitu pada 4 Nov yang merupakan hari pengundian DUN Galas.
Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan selepas wakilnya Chek Hashim Sulaima dari PAS meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lepas.
No comments:
Post a Comment