Strategi penyeludup yang menggunakan invois palsu untuk membawa 14,000 kilogram beras wangi Siam ke pantai barat Semenanjung berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubur, yang menahan treler membawa muatan itu di Kampung Pek, Machang awal pagi kelmarin.
Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata beras bernilai RM42,000 itu diisi dalam 280 kampit dan dipercayai untuk pasaran di Kuala Lumpur.
"Penyeludup menggunakan invois palsu yang menyatakan beras itu beras Super Malaysia untuk diedarkan kepada peniaga di Pasar Besar Gua Musang, sedangkan ia adalah beras wangi Siam yang dibungkus dalam kampit bercop keluaran tempatan," katanya di Tumpat.
Mazlan berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket penyeludupan beras dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di sempadan Sungai Golok.
"Beras itu dipercayai diseludup secara berdikit-dikit melalui pangkalan haram sebelum diisi ke dalam treler sebelum dibawa ke sesuatu destinasi," katanya.
Mengulas operasi pukul 4.20 pagi itu, Mazlan berkata pihaknya bertindak hasil intipan dan juga maklumat orang ramai.
Beras yang disita itu telah diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler berusia 58 tahun yang juga rakyat tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan, katanya.
Mazlan berkata rampasan itu adalah yang terbesar dilakukanya UPP Kelantan sepanjang tahun ini.
No comments:
Post a Comment