Monday, July 12, 2010

'MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI DI KB

Teater satira "Menang Sorak Kampung Tergadai" akan dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di sini selama dua hari mulai 20 Julai ini.

Ia berkisar pada kisah watak malang dalam cerita penglipur lara Melayu iaitu Pak Kaduk, yang dipentaskan sempena ulang tahun ke-54 penubuhan DBP Wilayah Timur.

Ia merupakan hasil karya Zack Zaidin dan olahan skrip oleh Hassan Jali dengan menampilkan bakat tempatan seperti Abdul Hadi Yusoff, Husain Ismail, Dr Raja Azman Raja Awang di samping pelakon undangan iaitu penyanyi lagu rakyat terkenal Roslan Madun untuk memegang watak utama.

"Inilah pertama kali kami persembahkan pementasan teater bercorak satira untuk peminat-peminat teater di negeri ini," kata Pengarah DBP wilayah itu, Mohamad Yussop Ishak.

"Yang menarik ialah kesemua pelakonnya adalah lelaki. Ia sebagai menghormati peraturan di bawah Enakmen Hiburan Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan penglibatan pelakon wanita dalam persembahan drama atau teater.

"Bagaimanapun untuk menghidupkan persembahannya, kita hanya akan menggunakan suara latar wanita di belakang tabir," jelasnya.

Menurutnya ketika ini pihaknya sedang menjalani latihan di bawah Aziz Mohd Noor dan Mahmud Ismail serta pengurus projek merangkap Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Timur, Shahrul Rizal.

"Beberapa fragmen dalam cerita Pak Kaduk akan diangkat dan diselang-selikan dengan situasi semasa yang secara umumnya merupakan suatu kritikan sosial kepada masyarakat hari ini yang terlalu ghairah mengejar kemewahan sehingga terlupa dengan dosa dan sanggup menggadai maruah sendiri," katanya.

Mohamad Yussop berkata naskhah "Menang Sorak Kampung Tergadai" dijalin dengan beberapa persembahan tradisional seperti Tok Selampit dan lagu rakyat di di samping turut dimasukkan elemen moden seperti deklamasi puisi.

Pas percuma untuk menonton teater ini boleh diperolehi di Pejabat DBP Wilayah Timur di Jalan Abdul Kadir Adabi di sini atau menghubungi talian 09-7414900 atau 09-7414906.

No comments: