Sunday, September 5, 2010

WABAK DEMAM DENGGI MAKIN SERIUS DI KELANTAN

Wabak demam denggi di Kelantan semakin serius dengan peningkatan 136 peratus, dengan purata tujuh kes dilaporkan setiap hari, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata, sehingga akhir minggu ini, sebanyak 852 kes dikesan dengan sembilan kematian, dan antara jajahan paling serius ialah Kota Baharu (677 kes), Pasir Mas (604) serta Tanah Merah (168).

"Peningkatan ini membimbangkan dan langkah-langkah segera diambil bagi mengatasi masalah itu daripada berterusan,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr,i Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melawat mangsa demam denggi di Hospital Pasir Mas, Lati semalam.

Dr. Wan Mansor berkata antara langkah pencegahan dan kawalan yang dilakukan ialah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan air bertakung, memutuskan kitaran hidup nyamuk dengan semburan kabus, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan kebersihan.

"Pihak kami juga sudah membentangkan wabak kes demam denggi ini kepada Jawatankuasa Bencara dan Wabak Negeri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias pada 18 Ogos lepas.

"Selain itu, kita juga mengatur program pendidikan dengan mengadakan 776 ceramah, 231pameran, 147 gotong royong di samping mengenakan 1,188 kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkaitan kes (pembiakan nyamuk aedes) itu,” katanya

No comments: