Monday, February 14, 2011

Mi Che Lah dan Lui Ah Mad:Sesuatu Yang Tidak Boleh Dilupakan

Oleh Sayuti Omar (Merah Tinta)
10 Feb 2011


PADA pagi yang mulia lagi ceria ini saya nak bersyarah sedikit fasal politik Kelantan tertuju istimewa buat Umno. Pada saat ini Umno Kelantan sedang berkonvensyen di Tok Bali, Bachok Kelantan. Konvensyen kali ini tidak membentangkan gagasan dan membincang hala tuju pembangunan yang bakal dibawa Umno di Kelantan, sekiranya mereka menang seperti lazimnya.

Menurut seorang timbalan ketua bahagian, konvenysen kali ini lebih kepada pengarahan mengaturkan gerak kerja dan tindakan. Melaksana bukan merancang. Mustapa Mohamed katanya mengambil pendekatan mendekati rakyat dan bukan mencipta slogan atau beretorik seperti mana ketua perhubungan sebelum ini, Annuar Musa. Pendekatan Mustapa lebih praktikal dan ringkas... berkerja dan bertindak.

Mungkin Mustapa ada pendekatan sendiri berpandukan kepada pengalamannya. Kejayaanya meletakkan Jeli sebagai kawasan paling selamat di Kelantan bagi Umno akan dijadikan modal dan juga contoh. Kalau semua pemimpin bahagian di Kelantan berkerja, sanggup bermuka-muka (munafik) dan sanggup melakukan apa saja kepada rakyat mungkin Umno boleh menang.

Mustapa tidak ada apa-apa masalah di Jeli. Beliau tidak perlu bimbang. Orang Pas sendiri sudah angkat tangan kepada Mustapa. Seekor kambing akan diletakkan di Jeli untuk di jadi korban dalam pilihan raya akan datang untuk menjadi habuan ratahan Mustapa. Orang Pas awal-awal lagi sudah melupuskan kerusi Parlimen Jeli!

Yang dipertua Pas Jeli, Apandi Mohammad yang pernah muncul menjadi the giant killer, katanya sedang melilau mencari kawasan baru. Beliau sudah tidak termampu untuk berdepan dengan Mustapa lagi. Kalau Apandi sudah kecut perut untuk berdepan dengan Mustapa kenapa harus mencari kawasan lain, elok 'pensiun' sajalah dari menjadi ahli politik dan tumpukan kepada kerja-kerja ukur mengukur bumi dan laut.

Mustapa dikenali sebagai orang berjurus bukan soleh. Orang Jeli tidak mengukur keupayaan Mustapa sebagai pemimpin Kelantan, tetapi mengukur kejayaan Mustapa hanya di repbulik Jeli saja. Mustapa kalau di banding dengan pemimpin Umno lain seperti Adhan Awang Kecil, Abdul Aziz Derasid dan lain, kata orang panggil tidak dengar.

Mereka ini juga pengecut, dan mudah lemah semangat. Pernah meletus khabar mengatakan satu revolusi kepimpinan akan dilakukan di Jeli - untuk menentang Mustapa, tetapi bila Mustapa panggil orang-orang ini dan tepuk bahu, bagi permit atau AP semuanya jadi hancur luluh dan idea revolusi itu hanyut terus ke sungai Pergau.

Dalam konteks Kelantan Mustapa hanya Tok Empat Umno Kelantan tetapi di Jeli dia adalah presiden Umno yang sama taraf dengan kedudukan bekas presiden sebelum ini yang bernama Mahathir Mohamed. Mustapa adalah presiden Jeli. Bijak atau tidak Mustapa kata Yusuf Comel sampai beruk dan kera di Jeli pun pandai bercakap Inggeris!

Kenapa tidak, apa yang beliau tidak bawa ke Jeli. Pembangunan di Jeli hari ini dari segi peratus dan nisbahnya mengatasi pembangunan di Kota Bharu. Kerancakan pembangunan di Jeli mengatasi daerah-daerah lain di Kelantan. Mungkin orang Bachok sendiri merasa berdosa dan bersalah kerana 'membuang' Mustapa ke Jeli... kalau tidak pembangunan yang ada di Jeli kini adalah milik Bachok.

Biarlah saya tidak mahu membicarakan fasal Mustapa yang katanya buat rumah berjuta ringgit di Shah Alam tetapi tidak berani untuk duduk kerana takut dikatakan kaya. Saya akan biarkan soal ini di lain Jumaat.

Yang saya nak bicarakan di sini ialah siapakah bakal menjadi MB Kelantan kalau Umno ditakdirkan menang dalam pilihan raya akan datang. Topik ini menarik dan ia sesuatu yang tidak boleh diketepikan. Sosok yang akan saya perkatakan ini kena diperhatikan dan ditinjau apakah mereka berkebolehan, sesuai dan merupakan calon terbaik. Jangan bandingkan mereka dengan Tokguru Nik Aziz... kalau dibandingkan dengan Nik Aziz di dalam Pas sendiri tidak ada yang boleh bertanding dengan beliau. Nik Aziz hanya dilahirkan Allah untuk Kelantan dalam tempoh satu abad.

Kini yang menjadi fokus sekiranya Umno menang di Kelantan MB ialah Mustapa Mohamed. Selain itu bekas bakal MB Awang Adek Hussein. Tetapi Awang Adek katanya lebih memberi tumpuan kepada parlimen Bachok dan lebih seronok kalau dilantik menjadi MB. Kekalahan dua kosong di Bachok dalam pilihan raya umum lalu menjadi Awang Adek lebih cermat dan kekalahan itu benar-benar memeritkannya. Sesudah kalah baru Awang Adek tersedar dari ulikan mimpi yang beliau dijerat oleh Annuar Musa pada pilihan raya itu. Kekalahan Awang Adek kerana bertanding dua kerusi adalah tektik dan strategi Annuar untuk membunuh kawan sekolahnya itu.

Selain dua nama itu ada dua nama lain yang dikira layak dan mungkin akan ditonjolkan untuk menjadi MB Kelantan. Dua nama ini tidak pernah ada dalam peta minda orang politik Kelantan termasuk juga orang Umno. Mereka yang saya maksudkan ialah Mohd Fatmi Che Salleh (Mi Che Lah) dan Mohd Alwi Che Amat atau Lui Ah Mad. Kedua mereka bukan Cina, tetapi kedua-duanya Melayu tulen yang mana salah seorangnya diputrakan di tanah haram - Makkah.

Kedua mereka ada kelayakan dari segi status. Mi Che Lah waktu ini adalah Ketua Umno Kota Bharu. Walaupun kalah lebih sekali dalam pilihan raya namun reputasinya masih molek lagi. Kedudukan beliau sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada masa kini boleh melonjakkan markah politiknya di Kota Bharu. Kedudukan itu juga sekiranya beliau dapat mengolahkan dirinya ia boleh menjadi satu tarikan, jawatan itu ada kuasa magnetik.

Untuk tujuan itu Mi Che Lah akan turun bertanding di Dun semula dalam pilihan raya akan datang. Sudah ada riak risik dari Najib untuk membawa anak buahnya ke Dun. Jika ini benar bermakna Mi Che Lah telah diangan-angankan untuk menjadi MB Kelantan. Kerusi yang bakal ditanding Me Che Lah ialah Bunut Payung di mana beliau akan bertukar kerusi dengan Rosmadi Ismail yang akan berpindah ke Parlimen Kota Bharu.

Demikian juga dengan Lui Ah Mad... kedudukannya kini sebagai ketua pembangkang di Dun Kelantan menjadikan beliau ada kelebihan, berbanding dengan yang lain. Di peringkat bahagian dia adalah timbalan ketua Umno Ketereh. Hakikatnya Lui Ah Mad adalah ketua bahagian Ketereh pada masa ini kerana ketuanya Annuar Musa lebih sibuk dengan bola sepak. Segala gerak kerja dan pembangunan parti waktu ini dilakukan Lui Ah Mad, tidak lagi Annuar Musa. Apakah ini juga termasuk mengenepikan Sobree Shafii sehinggakan tokoh 'agitator' Umno Ketereh itu kini sudah meninggalkan parti?

Inilah dua nampak yang boleh difikirkan oleh Umno dan juga rakyat Kelantan. Rakyat dan Umno Kelantan bolehlah membuat perhitungan serta menimbang sejauh mana kemampuan dan munasabah hal ini.

Kedua mereka juga dilihat belum ada penyakit, baik di Kelantan maupun di pusat. Misalnya Fatmi tidak ada apa-apa skandal, seorang yang berlemah lembut dan berdiplomasi tinggi dan senang didekati. Stail politiknya jauh dan berbeza dengan stail politik bekas Ketua Umno di seberang Sungai Kelantan. Tidak pernah terloncat dimulut beliau kata-kata nesta dan buruk mengenai pemimpin Pas.

Demikian juga dengan Alwi... walaupun nampak kelam kabut, 'bolon...' (kuat melawak) tetapi bersih dari skandal yang kebanyakan dihadapi oleh pemimpin Umno lain. Hujah dan pandangan yang diberikan bersandarkan fakta dan kebenaran Quran dan Hadith. Bagi saya satu-satunya pemimpin peringkat bahagian di Kelantan yang hafal lebih 40 hadith (Muslim dan Bukhari) dan ayat-ayat Quran mengenai hukum dan maslahat perjuangan hanya Lui Ah Mad seorang. Jika ini satu kelebihan ia memang satu kelebihan.

Kenapa Abdullah Badawi memilih Lui untuk menjadi Setiausaha Politiknya satu masa dulu ialah kerana kelebihan Lui di dalam hal ini yang tidak ada kepada pemimpin pelapis lain termasuk Mustapa maupun Awang Adek.

Selain kelebihan itu waima Alwi maupun Fatmi mereka tidak hisap ceruk berharga RM1,200 sebatang ataupun memiliki rumah di Tropicana ataupun di Shah Alam. Kedua mereka juga tidak mengamalkan poligami! Kedua mereka masih maksum dalam konteks Umno. Jadi kepada Pas dan rakyat Kelantan jangan tergaru kepala kalau Umno menonjolkan kedua mereka ini. Untuk masa depan juga selepas Mustapa, Awang Adek dan Annuar Musa yang sudah luruh bulu sampai ke bulu ekor merekalah menjadi tunggak utama Umno. Masa depan Umno akan terletak di tangan mereka.

Posted by mso.im at 10:15:00 AM 0 comments

2 comments:

Anonymous said...

Sayaingat dari segi strategik, Tok Pa kena kat federal.

mohamad said...

Saya nak ingatkan kepad semua wakil2 rakyat umno yang menang pada pilihanray 2008 dulu jangan lah merasa selesa,keputusan di tangan rakyat,apakah mika yang menang dah benar2 berkhidmat untuk rakyat?,saya sendiri penyokong dan jentera umno dah mula naik muak dengan perangai wakil rakyat tempat saya(kok lanas)nak jumpa pun susah sekarang ni apa lagi nak mengadu nak mintak tolong.pilihanraya ke 13 dah tak lama, kalau dengan keadaan macamni tunggu dan lihat lah keputusan nya nanti.