Tuesday, February 22, 2011

PAS Kelantan Perlu Perjelas Penyelewengan Ladang Rakyat Babitkan RM12 Juta

Kerajaan PAS Kelantan perlu menjelaskan mengenai penjualan tanah Ladang Rakyat kepada syarikat bukan bumiputera bernilai RM12.75 juta di Dabong, Kuala Krai berikutan penjualan itu menimbulkan keraguan bahawa ada pihak cuba mengambil untung melalui program itu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata pendedahan itu dibuat oleh sebuah laman blog www.kelatekito.net bahawa program Ladang Rakyat melibatkan pengambil alihan syarikat yang telah diberikan kebenaran untuk membangunkan tanah seluas 1,185.2 hektar di Mukim Kandek, Dabong.

"Berdasarkan pendedahan itu, jelas menunjukkan kerajaan PAS Kelantan menggunakan nama Ladang Rakyat untuk menghalalkan pemberian tanah itu kepada bukan bumiputera dan pemimpin PAS negeri memperalatkan rakyat dengan nama-nama program yang hebat untuk kepentingan peribadi mereka.

"Saya rasa pimpinan negeri termasuk menteri besar atau mana-mana Exco perlu menjawab dakwaan blog ini. Mengikut cerita blog ini, kita nampak kerajaan negeri bersandiwara kononnya buat Ladang Rakyat tetapi akhirnya hanya perlu untuk memberikan kelulusan lebih 1,000 hektar kepada sebuah syarikat dan jual dengan untung besar," katanya kepada pemberita di sini, hari Isnin.

Semalam, blog itu mendakwa wujudnya perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar kepada sebuah syarikat milik bumiputera yang dimiliki dua beradik pada 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah itu dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili Kerajaan PAS Kelantan manakala pasangan dua beradik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Hasil keuntungan ladang itu dikatakan akan memberi manfaat kepada hampir 4,500 pesertanya yang menerima dividen sebanyak RM200 sehingga RM300 selepas beberapa bulan perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat berkenaan diambil alih oleh sebuah syarikat bukan bumiputera yang membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

Mohd Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baharu berkata pemberian tanah itu hanyalah laluan untuk membolehkan syarikat terbabit menjualnya dan mendapatkan keuntungan segera.

No comments: