Monday, February 21, 2011

Tabung Darah Semua Hospital di Kelantan Kritikal

Orang ramai termasuk pelbagai badan sukarela perlu tampil menderma darah bagi mengisi tabung darah di semua hospital di Kelantan yang dalam keadaan kritikal kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, keperluan itu penting bagi menyelamatkan nyawa mereka yang menghidapi penyakit kronik dan memerlukan bekalan darah.

Beliau mahu setiap penduduk mengambil perhatian serius terhadap keperluan tabung darah kerana bimbang sekiranya tidak mencukupi akan memudaratkan mereka yang memerlukan.

“Mereka yang menderma juga tidak perlu bimbang dengan kesihatan diri kerana mereka akan bertambah sihat,” katanya pada majlis Kempen Kesihatan dan Menderma Darah mengisi Tabung Darah Hospital Kuala Krai (HKK) di Kesedar Inn, kelamrin.

Pada majlis itu, Ab Aziz turut menderma darah sebagai menggalakkan orang ramai yang berkunjung ke situ berbuat demikian untuk kebaikan pesakit.

Bagaimanapun, menurut Ab Aziz, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang berulang kali menderma darah hingga ada yang melebihi 40 kali.

Beliau berkata, mereka yang sudah biasa menderma darah itu sudah tentu rasa sihat selepas berbuat demikian dan kadang kala tidak sabar menderma hingga sanggup datang ke mana-mana hospital.

“Amalan seumpama itu yang kita mahu kerana mereka yang menderma sudah tentu mendapat ganjaran dari Allah berikutan darahnya digunakan bagi menyelamatkan nyawa Manusia yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

No comments: