Friday, September 16, 2011

Rumah: Kelantan Tidak Serius Kebajikan Rakyat

"Sebab itu kita telah menyatakan keazaman jika Barisan Nasional kembali memerintah, masalah ini sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan dalam membela nasib rakyat," - Mohd Fatmi Che Salleh

Kerajaan Pas Kelantan jelas gagal memenuhi keperluan asas rakyat dan ini sangat memalukan sebagai sebuah negeri yang ditadbir parti Islam.

Apa yang diperjuangkan PAS dalam konteks kebajikan memang hamPAS kerana amat jelas, selain masalah membekalkan air bersih kepada rakyat, Kerajaan Kelantan gagal menyediakan rumah kepada rakyatnya.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan menyebut kajian oleh pihaknya mendapati 400,000 rakyat Kelantan yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan masih tidak mampu membeli rumah.

Kedudukan ini dianggap sebagai sesuatu yang serius dan perlu dilakukan sesuatu bagi menanganinya.

Pengerusi REHDA Datuk Sekarnor Che Omar berkata, ini berikutan faktor kos pembinaan yang tinggi menyebabkan pemaju di Kelantan tidak dapat menyediakan rumah mampu milik, dan hanya membina rumah berharga RM150,000 ke atas.

Keadaan ini menyebabkan rumah berkenaan tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi membina lebih banyak rumah mampu milik berharga RM80,000 ke bawah, serta mensasarkan 100,000 unit setahun bagi mengatasi masalah perumahan di Kelantan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Persoalannya, kenapa di Kelantan tidak ada syarikat yang mahu membina rumah mampu milik.

Apa peranan kerajaan negeri?

Kerana itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh mendeak dilakukan kajian terperinci bagi memastikan kira-kira 400,000 rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Masalah ini amat serius kerana ia adalah keperluan asas yang seharusnya dimiliki oleh rakyat negeri ini.

Beliau berkata, situasi ini jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS gagal menyediakan keperluan tersebut kepada rakyatnya biarpun telah memerintah selama 20 tahun.

"Kerajaan negeri sepatutnya melihat dengan serius perkara ini. Jumlah 400,000 itu sangat tinggi jika dinisbah dengan populasi penduduk rakyatnya yang hanya sejuta lebih.

"Kalau diambil kira dari segi peratus ini bermakna 40 peratus rakyat negeri ini masih belum mempunyai rumah sendiri. Ini amat mendukacitakan," katanya di Kota Bharu, malam semalam.

Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Bharu mendakwa, kerajaan Pas Kelantan dilihat lebih mementingkan pembinaan rumah-rumah mewah dengan nilai ratusan ribu diusaha secara bekerjasama dengan agensi swasta.

Katanya, nilai tersebut tidak mampu bagi membantu rakyat negeri ini yang sebilangan besarnya berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000.

Beliau berkata, sekiranya benar kenyataan tersebut adalah hasil dari kajian REHDA, beliau percaya ia adalah tepat memandangkan persatuan itu mewakili hampir semua pemaju-pemaju perumahan dan mempunyai data lengkap.

"Ini kajian yang semestinya tepat oleh REHDA, tidak boleh dinafikan kerajaan Pas Kelantan dan ini sesuatu kajian yang serius," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak sepatutnya melihat situasi ini sebagai perkara kecil dalam menjaga kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Berikutan itu, rakyat perlu menilai kembali masalah itu kerana jumlah yang dinyatakan oleh REHDA itu begitu tinggi dan jika ia berterusan sudah tentu sebahagian besar rakyat Kelantan selamanya tidak akan mampu membeli rumah sendiri.

"Sebab itu kita telah menyatakan keazaman jika Barisan Nasional kembali memerintah, masalah ini sudah tentu akan menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan dalam membela nasib rakyat," katanya.

No comments: