Friday, October 7, 2011

Ketua Hakim Syarie Dakwa Kelantan Tidak Pernah Serius Laksana Hudud

Siapa Bersandiwara Mengenai Pelaksanaan Hudud di Kelantan?

Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad menegur kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah serius memberi penerangan kepada masyarakat mengenai hukum hudud sekalipun sudah meluluskan peruntukannya hampir 20 tahun lalu.

Daud berkata, kempen dan pendidikan berterusan kepada rakyat mengenai hudud sepatutnya dilakukan tanpa henti sejak Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan diluluskan pada tahun 1993 lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya lantang bercakap mengenainya pada waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia boleh menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan dalam melaksanakan hudud.

“Kerajaan mungkin mengambil masa pada peringkat awal. Namun supaya benda ini tidak berlaku pertikaian atau pertentangan, eloklah beri penerangan dan penjelasan, tapi ini pun satu hal kerana dari 1993 sampai sekarang kita tidak dakwah betul-betul pun pasal hudud ini, tidak ada.

“Padahal kita boleh dakwah dengan pelbagai cara, dengan risalah dan macam-macam. Pegawai dakwah kita ramai, ia sepatutnya berterusan, jangan hanya tunggu masa-masa tertentu sahaja, orang akan pandang lain pula,” kata beliau pada Wacana Pelaksanaan Hudud di Dewan Teratai, Kota Baru semalam.

Wacana khusus kepada pegawai kerajaan negeri dan persekutuan itu turut dihadiri pakar perlembagaan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohamed Daud sebagai ahli panel.

Daud yang merupakan salah seorang yang terbabit dalam merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan juga berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak takut untuk melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan dan ugutan daripada banyak pihak.

Dipetik Utusan Malaysia, kata beliau, kerajaan negeri seharusnya berani melaksanakan hukum yang mereka sendiri luluskan dan tidak membiarkan batasan bidang kuasa dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1985) dan lain-lain akta sebagai halangan.

Daud berpandangan, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak yang jelas kepada setiap warganegara mengamalkan agama masing-masing termasuk masyarakat Islam yang mahu mengamalkan hudud dan sebarang undang-undang yang menyekat kebebasan ini sebenarnya yang patut dipertikai.

“Perkara 11 memberikan kebebasan mengamalkan agama, kenapa kita nak takut, kita nak amalkan agama kita, kita nak laksana, tanggungjawab ini tertanggung kepada kerajaan yang akan ditanya Allah di akhirat nanti kenapa luluskan enakmen tetapi tidak laksana,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri akur dengan saranan yang diberi dan akan mula mengambil langkah lebih serius ke arah pelaksanaan hukum hudud.

Katanya, ini termasuklah menubuhkan dua mahkamah baru iaitu Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang akan menjadi tempat kes berkaitan kesalahan hudud dibicarakan.

“Selama ini, kita fikirkan akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi dari perbincangan wacana tadi nampaknya tidak banyak halangan untuk kita laksanakan hudud.

“Kami akan maklumkan tindakan selanjutnya secara terperinci selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi,” katanya.

1 comment:

KL BOYZ said...

Salam Sejahtera, harap dapat dilink blog hamba disini..Terima Kasih.
http://klboyzwangsa.blogspot.com