Wednesday, February 15, 2012

Isu Israel - Sandiwara Baru Anwar, Nik Aziz

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan bertemu Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat ini bagi menjawab isu beliau dikatakan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini.

Menurut sumber dalaman PKR, perjumpaan akan dilakukan selepas mesyuarat bersama kepimpinan PKR, hari ini.

“Esok kita akan adakan perbincangan bersama kepimpinan PKR, selepas itu baru tentukan bila Datuk Seri Anwar bertemu Tok Guru (Nik Aziz). Perbincangan yang mendalam akan diadakan bersama Tok Guru bagi menjelaskan isu ini,” katanya.

Kelmarin, Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim tarik balik kenyataannya menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ, baru-baru ini.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menganggap kenyataan Mursyidul Am Pas supaya Ketua Pembangkang memberi respons terbuka mengenai kenyataannya di akhbar Wall Street Journal sebagai satu sandiwara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya memandang serius desakan dilakukan Nik Aziz yang meminta Anwar menarik balik kenyataan sokongannya terhadap keselamatan Israel atau menyaman akhbar berkenaan.

“Kenyataan Nik Aziz mungkin satu sandiwara yang cuba nak membersihkan Pas daripada bersekongkol dengan Anwar yang jelas berpegang teguh kepada sokongan politik Amerika dalam konteks kedudukan negara Palestin.

“Bila Nik Aziz gesa Anwar tarik balik atau saman Wall Street Journal, ia seolah-olah percubaan untuk kelirukan masyarakat. Mereka mungkin tersedar selepas kenyataan Anwar mendapat kecaman bertubi-tubi dari dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya, semalam.

Beliau mendakwa, Pas terpaksa menyokong kenyataan Nik Aziz selepas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa menyokong Israel adalah haram.

“Perkasa mahu tegaskan bahawa rakyat jangan keliru kerana jika Anwar ambil pendirian tarik balik kenyataan atau saman Wall Street Journal, saya tidak yakin bahawa itu lahir dari hatinya dan sikapnya tidak akan mengubah pendirian.

“Maknanya, mengambil tindakan saman atau menarik balik kenyataan tidak bererti dia menolak pendirian dia selama ini. Dia hipokrit, hari ini boleh tegak pengakuan macam ni, esok boleh tarik balik, lusa boleh tukar hanya sekadar untuk kelirukan orang ramai,” katanya.

Ibrahim turut mempertikaikan mengapa Nik Aziz tidak mendesak Anwar menyaman individu seperti Ummi Hafilda Ali, Ezam Mohd Noor atau Datuk S Nalakaruppan yang didakwa membuat pelbagai tuduhan terhadapnya.

No comments: