Friday, March 2, 2012

Perdana Menteri Janji Selesai Masalah Rakyat Jika BN Perintah Kelantan


Rakyat Kelantan kena fikir masak-masak jangan ada sentimen.

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat Kelantan memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi membolehkan BN menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan PAS.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah bekalan air, masalah ladang rakyat, masalah kemudahan asas dan masalah perumahan rakyat.

"Di bawah kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah jika diberi mandat nanti, kita jamin masalah air selesai, kita akan jamin masalah ladang rakyat selesai, kita akan jamin kemudahan asas selesai, kita jamin perumahan rakyat akan kita laksanakan," katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 1Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Jeli hari ini.

Ucapan Perdana Menteri itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira -kira 20,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini turut melaungkan "Gelombang Merah" dalam mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini.

Najib berkata kerajaan BN akan mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.

"InsyaAllah landskap Kelantan akan berubah tetapi tetap berpaksikan kepada Islam, ilmu akhlaknya tetap kita pertahankan," katanya.

Beliau berkata PAS terbukti tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat walaupun sudah lebih 20 tahun memerintah negeri ini, sejak 1990.

Katanya PAS tidak mempunyai agenda untuk membangunkan rakyat dan negeri ini, sebaliknya apa yang diutamakan pemimpin itu ialah hanya kemenangan pilihan raya.

"Kelantan...kita nak maju, orang Kelantan ramai cerdik pandai, inilah tempat kita nak majukan umat Islam," katanya, sambil meminta rakyat memberi sokongan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam membawa perubahan di Kelantan.

Mustapa adalah anggota Parlimen Jeli dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Oleh itu, adik kakak sekelian, ambo (saya) nak pesan, kalau sayangkan ambo, kena sokong Datuk Pa ini, Datuk Pa orangnya jurus dan rajin, Datuk Pa, siang malam kerja," katanya sambil menyatakan bahawa Mustapa gigih membawa pelaburan ke Malaysia di mana tahun lepas sebanyak RM105 bilion.

Perdana Menteri juga berkata penubuhan Universiti Malaysia Kelantan, yang mendapat sokongan kuat daripada beliau, menunjukkan kerajaan BN mengutamakan ilmu untuk rakyat.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada penduduk di Parlimen Jeli.

No comments: