Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau tidak pernah mengharap dilantik sebagai Menteri Besar (MB) jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan Kelantan pada pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.
“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, saya hanya membantu melancarkan segala permasalahan yang berlaku di negeri ini. Saya tidak pernah letakkan harapan untuk dijadikan calon MB, lagipun saya sudah lama memegang jawatan dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri (PM) yang memuji Mustapa kerana memastikan kelancaran tugas dalam pimpinan Umno di negeri ini dalam kunjungan beliau di Kelantan semalam.
“Saya hanya ikut arahan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi. Lagipun saya dah lama dalam Umno dan pegang jawatan, apa pun saya serahkan kepada pihak terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan peruntukkan yang diberikan kepada bas henti-henti Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Perdana Menteri kelmarin, BN Kelantan mencadangkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergilir-gilir datang ke negeri ini pada setiap bulan bagi menyuntik semangat kepada jentera di peringkat bawah.
Mustapa berkata, cadangan tersebut dibuat ketika perjumpaan tertutup di antara Najib dengan kepemimpinan BN negeri di sini malam kelmarin.
Beliau berkata, selain itu, rakyat di negeri ini juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk bersama-sama pemimpin utama negara pada setiap kali perjumpaan diadakan.
“Saya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat di negeri ini pada lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Kelantan semalam. Ini jelas menunjukkan pada saya bahawa Gelombang Merah yang kita mulakan pada Februari 2011 semakin mendapat penghargaan dan sokongan,” katanya.
Mustapa berkata, rakyat di negeri ini inginkan perubahan dan lawatan ini cukup bermakna dan beliau minta agar pada setiap bulan PM atau TPM datang Kelantan bagi menyuntik semangat rakyat dan jentera parti agar bekerja lebih keras.
“Kita cadangkan April nanti TPM pula datang dan begitulah seterusnya,” katanya.
Sinar Online
No comments:
Post a Comment