Friday, April 5, 2013

Ku Li Minta Rakyat Bijak Pilih Kerajaan Baru, Nik Aziz Tolak Calon Perokok


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan rakyat supaya membuat pilihan bijak bagi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, ini kerana rakyat mempunyai kuasa penuh untuk menentukan kerajaan selepas Dewan Rakyat dan Dun dibubarkan bagi membolehkan PRU13 diadakan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengumumkan pembubaran Parlimen (Dewan Rakyat) kelmarin bagi membolehkan PRU13 diadakan dan ia memberi kuasa penuh kepada rakyat memilih kerajaan baru bagi menentukan masa depan.

"Negara kita masih mengamalkan demokrasi untuk tujuan itu, tetapi rakyat harus menilai secara bijak sebelum membuat keputusan untuk mengundi siapa pemimpin yang layak bagi mereka," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek, di Gua Musang semalam.

Hadir sama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani dan Adun Galas, Ab Aziz Yusof. Tengku Razaleigh percaya rakyat di mana-mana kawasan seluruh negara sudah menyimpan kenyakinan mereka untuk memilih kerajaan yang benar-benar boleh membawa kemajuan untuk kesenangan masa depan.

"Apapun keadaan yang dihadapi, kita juga tidak boleh lari daripada mengekalkan perpaduan sedia ada untuk menjaga keharmonian hidup dan mengejar segala kemajuan yang diidamkan selama ini," katanya.

Beliau berkata, daripada negara mula mencapai kemerdekaan tahun 1957 sehingga sekarang, sudah banyak kemajuan dapat dinikmati seluruh rakyat termasuk kemajuan pendidikan bagi membolehkan pelajar mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaaan.

"Kini pelajar boleh dikatakan rata-rata bijak apabila mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan dan sekali gus mereka boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk mereka yang tinggal di kampung luar bandar," katanya

Sementara itu setiap calon Pas yang bertanding sama ada di peringkat Dun atau Parlimen di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mesti bebas rokok.

Ini ditegaskan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas. "Kalau hisap rokok, tak boleh jadi calon," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, semalam.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilapor pernah menegur sesetengah pemimpin dan penyokong Pas di Kelantan yang merokok di khalayak ramai dan pernah melarang tabiat itu.

Mesyuarat itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU13.

No comments: