Friday, April 19, 2013

BN Persoal Kerajaan Kelantan Rancang Bina Rumah Rakyat Selepas 23 Tahun


Barisan Nasional (BN) mempersoalkan hasrat kerajaan negeri Kelantan yang hendak membina perumahan kos sederhana untuk rakyat di sini hanya selepas pemerintahan di bawah pimpinan PAS selama 23 tahun.

Calon Parlimen BN-Kota Baru, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, kerajaan negeri dikatakan akan membuat perumahan untuk rakyat dengan kos RM160,000 seunit yang dijual pada harga RM70,000 dengan subsidi RM90,000.

Kenapa (kerajaan negeri) baru sekarang nak buat (rumah rakyat)? Adakah mereka baru jadi kerajaan, berapa lama dah jadi kerajaan?

"Kalau betul-betul ini kerajaan yang prihatin untuk kesejahteraan rakyat, sepatutnya di awal pemerintahan lagi mereka sudah membangunkan perumahan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Guru Cakna Rakyat Bersama Pemimpin dan Masyarakat di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Petra 4 di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir ialah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Emas bagi BN, Kanidy Omar.

Pengumuman mengenai projek perumahan rakyat yang membabitkan 400 unit di sini oleh kerajaan negeri dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada ceramahnya di Kampung Baru, Wakaf Mek Zainab dekat  malam Khamis.

Takiyuddin merupakan pencabar kepada Mohd Fatmi bagi merebut kerusi Parlimen Kota Baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Mohd Fatmi yang menjadikan contoh BN yang mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan pada 1978 berkata, satu perumahan pangsa di negeri itu sudah pun disiapkan selepas tiga tahun pada 1981.

"Siap dalam masa tiga tahun, bukannya (baru) mulakan pembinaan. Sudah pun siap untuk diduduki. Ini contoh Barisan Nasional," katanya.

Beliau menambah, jika PAS mengambil tampuk pemerintahan pada 1990, yang baru sekarang mahu merancang untuk membina perumahan dan bukannya siap untuk diduduki oleh rakyat.

"Maknanya kalau tiga tahun lagi (tempoh pembinaan), sudah jadi 26 tahun pemerintahan (PAS) barulah rakyat dapat rasa. "Ini tidak patut.

Oleh itu, saya seru rakyat tukar kerajaan Kelantan kepada Barisan Nasional," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mac lalu mengumumkan untuk membina 1,000 unit rumah rakyat di sini.

Pengumuman Najib yang juga Pengerusi BN itu melibatkan kos RM160,000 seunit, yang akan dijual pada harga hanya RM35,000 dengan subsidi RM125,000.

No comments: