Tuesday, February 11, 2014

BN Bangkit Janji PAS Kelantan Pada Sidang DUN Mac


KOTA BHARU (11Februari 2014) - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menggunakan sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk mendapatkan penjelasan tentang status beberapa projek pembangunan yang telah dijanjikan kerajaan Pas Kelantan kepada rakyat sebelum ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, antara perkara yang akan dibangkitkan itu adalah seperti status pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai, pembangunan Lembah Sireh dan Stadium Bukit Merbau, Pasir Puteh.

"Kita akan membangkitkan beberapa perkara ini dalam sidang DUN yang akan berlangsung pada 4 sehingga 6 Mac ini bagi mengetahui status terkini pembangunan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri (JKTPNg) Kelantan di Kota Bharu,  semalam.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kerajaan negeri menjanjikan beberapa projek mega kepada rakyat negeri ini, antaranya Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu - Kuala Krai dan Stadium Bukit Merbau.

Namun, sehingga hari ini projek terbabit masih belum berjalan dan tidak diketahui statusnya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan akan menetapkan garis panduan baharu bermula tahun ini kepada kerajaan negeri untuk menggunakan peruntukan yang disalurkan bagi menyelenggara jalan raya di Kelantan.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Barisan Darulnaim (Badar) hari ini menyerahkan 100 soalan yang melibatkan pelbagai isu kepada wakil Barisan Nasional (BN) untuk dikemukakan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 hingga 5 Mac ini.

Pengerusinya, Kamarudin Mohd. Kasim berkata, soalan-soalan itu adalah hasil daripada sumbangan pelbagai pihak yang mewakili semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, 100 soalan itu juga meliputi segenap aspek permasalahan rakyat, isu semasa dan perkara yang berkaitan dengan kerajaan negeri.

"Ia melibatkan isu-isu seperti pembalakan, lebuh raya rakyat, projek pembinaan stadium Bukit Merbau, masalah bekalan air bersih, pembangunan Bandar Baru Tunjong dan ancaman terhadap Taman Negara Kuala Koh.

"Kita amat berharap pihak BN Kelantan dapat membawa soalan-soalan ini kerana kami berpendapat sidang DUN adalah tempat paling sesuai untuk Menteri Besar menjawabnya sama ada secara lisan atau pun bertulis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 100 soalan tersebut kepada Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Abd. Rahman dan wakil beberapa NGO.

Kamarudin berkata, pihaknya berharap kerajaan Pas Kelantan menjawab soalan itu dengan terperinci kerana ia adalah keluhan rakyat di akar umbi.

"Kami memberi jaminan jika kerajaan Pas Kelantan tidak menjawab soalan ini pihak kami akan berhimpun pada persidangan DUN dan menuntut kesemua jawapan kepada soalan yang telah kami ajukan," katanya.

Sementara itu, Norzula berkata, soalan-soalan tersebut membuktikan bahawa rakyat negeri ini memandang serius dengan setiap janji yang dibuat oleh Pas terutama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

"Mereka ingin tahu apa perkembangan projek telah dirancang oleh kerajaan Pas Kelantan seperti Ladang Rakyat, lebuh raya rakyat dan stadium kerana pemimpin Pas telah berjanji untuk melaksanakannya.

"Rakyat telah sedar segala pembohongan yang telah dibuat maka disebabkan itu soalan-soalan ini diajukan untuk kerajaan negeri jawab," katanya.

Katanya, ADUN BN bertanggungjawab sepenuhnya untuk membawa soalan itu ke dalam dewan kerana ia adalah suara rakyat dan kerajaan Pas Kelantan harus menjawabnya.

"Kita selalu menghantar soalan seperti ini pada sidang DUN sebelum ini tetapi mereka (Pas) akan menolak atau meletakkan soalan kita di hujung-hujung untuk mengelak daripada menjawab disebabkan kesuntukan masa.

"Mereka (kerajaan Pas Kelantan) menjawab sekadar 'melepaskan batuk di tangga' dan soalan yang mengancam dan berat mereka jawab tidak ikhlas dan kadang-kadang yang dijawab adalah hasil daripada apa yang dilakukan Kerjaan Pusat tetapi dia ambil dan mengaku itu adalah usaha mereka," katanya.

Tambah beliau, pihaknya memahami tempoh dua hari adalah terlalu singkat untuk menjawab kesemua soalan itu namun berharap kerajaan Pas Kelantan memberi keutamaan dan menjawabnya secara lisan atau pun bertulis.

No comments: