Tuesday, March 18, 2014

Penduduk Kelantan Tidak Perlu Gusar GST - KDRM Kelantan


"Saya jamin 80% penduduk Kelantan yang hidup secara tradisi tidak kena GST, tidak perlu takut, mereka boleh beli gandum, beras, gula, kecuali mereka yang berbelanja besar, mereka yang hidup mewah, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan terbaik yang dikenakan cukai, orang kampung biasa yang pergi ke sawah tidak dikenakan GST."
 - Pengarah KDRM Kelantan, Datuk Azis Yacub

Di warung kopi, bualan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ini masih rancak dengan pelbagai gambaran malah lebih meresahkan apabila yang bercakap mengenainya tidak arif mengenai mekanisme pelaksanaan cukai berkenaan.

GST sebanyak 6 peratus akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 bagi menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

Orang ramai akan terus mengalami kecelaruan gambaran mengenai pelaksanaan GST apabila mereka terus dihulurkan pelbagai maklumat yang kurang tepat termasuk kos sara hidup dan barangan akan naik dengan GST. Keadaan itu boleh diredakan jika orang ramai merebut peluang untuk mendengar penjelasan daripada pihak yang pakar berkaitan GST iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Pengarah KDRM Kelantan, Datuk Azis Yacub berkata, pihaknya melantik 30 pegawai untuk memberi penerangan kepada penduduk di negeri ini mengenai GST termasuk turut pergi ke kampung untuk menyebarluaskan maklumat mengenai perkara itu.

Katanya, sejak pengumuman mengenai pelaksanaan GST dibuat, kira-kira 15 seminar diadakan untuk memberi penerangan kepada golongan profesional.

"Kita bagi penerangan kepada kumpulan itu terlebih dahulu dengan harapan mereka dapat menyampaikan sedikit sebanyak maklumat mengenai GST kepada masyarakat.

Kita tidak mahu masyarakat salah faham dan menganggap GST ini satu penipuan.

"Cukai digunakan sebagai sumber oleh kerajaan untuk mentadbir dan membangunkan rakyat, kerajaan tidak akan menipu rakyat dalam soal cukai ini, buat apa hendak tipu, kita ada undang-undang, sesiapa yang hendak menaikkan harga secara drastik, adakah kerana enam peratus ini hendak naikkan harga untuk kaut keuntungan yang keterlaluan?

"Kita ada akta yang dikuatkuasakan oleh kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, di mana asasnya kerajaan tidak tipu rakyat," katanya, sambil membidas pihak tertentu yang cuba menanam persepsi negatif mengenai GST dan kerajaan pada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi penerangan yang mudah difahami kepada semua peringkat masyarakat kerana maklumat balas yang diterima sekiranya penerangan yang terlalu ilmiah atau teknikal, ramai terutama penduduk luar bandar sukar memahami.

"Saya jamin 80% penduduk Kelantan yang hidup secara tradisi tidak kena GST, tidak perlu takut, mereka boleh beli gandum, beras, gula, kecuali mereka yang berbelanja besar, mereka yang hidup mewah, mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan terbaik yang dikenakan cukai, orang kampung biasa yang pergi ke sawah tidak dikenakan GST," katanya.

Azis berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 1,200 syarikat di Kelantan yang berdaftar dengan KDRM akan membayar GST dan pihaknya memulakan 'dry run' dengan syarikat-syarikat terbabit berkaitan mekanisme pelaksanaan GST.

Beliau berharap pemimpin masyarakat serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik memberi kerjasama kepada pihaknya dalam menyebarluaskan maklumat mengenai perkara itu. - Bernama, 18 Mac, 2014.

No comments: