Friday, May 13, 2016

FAM, FMLLP Adalah 'Perompak' Bolasepak Malaysia - Annuar


Jangan lupa kami adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan pelaburan. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion ringgit setahun..."Tanpa kami, FAM dan FMLLP tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami."
- Tan Sri Annuar Musa

Oleh OhSedapnya

Hulubalang Kelantan sudah mengamuk.

Malah mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk mengambil tindakan terhadap pasukan Kelantan susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemain mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata menghukum pasukan bukan jalan terbaik sebaliknya FMLLP perlu melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak negara menerusi etika pengurusan yang baik.

"Jangan lupa kami adalah pihak berkepentingan yang mengeluarkan pelaburan. Secara kolektif, 12 pasukan di Malaysia melabur hampir setengah bilion ringgit setahun.

"Tanpa kami, FAM dan FMLLP tiada apa-apa. Mereka perlu bekerja untuk kami.


"Bagi saya (ia adalah) rompakan secara terang-terangan apabila anda ambil RM70 juta dan mahu kami cari dan keluarkan wang serta perlu beraksi cemerlang," katanya.

Annuar berkata beliau kecewa dengan sikap FMLLP dan FAM yang dilihat menjatuhkan hukuman dengan mudah kepada pasukan yang bergelut dengan isu tunggakan gaji pemain tanpa mengendahkan masalah dihadapi pasukan terlibat.

FMLLP adalah entiti swasta yang diberi hak mengendalikan liga bola sepak Malaysia.
Tarikh akhir diberi FMLLP kepada KAFA untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya ialah pada 31 Mei ini.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam mencadangkan kepada FAM untuk melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

"Persepsi buruk itu harus ditukar. Kita perlu bersama-sama membangunkan arena bola sepak negara bukannya saling menjatuhkan satu sama lain dan bercakaran," katanya.

Berdepan kemungkinan dipotong mata atau lebih serius, disingkir daripada Liga Super tidak menggoyang kesungguhan KAFA meneruskan cabaran walaupun dihimpit pelbagai masalah.



Annuar hari ini turut  'mengalu-alukan' FAM dan FMLLP mengambil tindakan itu terhadap mereka.

"Saya mengalu-alukan jika mereka rasa itu (menghukum Kelantan) adalah tindakan wajar," katanya semalam.

Annuar bagaimanapun menegaskan, jika itu berlaku ia hanya menegaskan lagi masalah yang sedang dihadapi bola sepak negara ini.

Kata anggota parlimen Ketereh itu, pihak yang berkuasa dalam sukan bola sepak barangkali terlupa bahawa setiap pasukan yang terbabit dalam liga kendalian mereka adalah sebahagian daripada penyumbang yang menjayakan sukan berkenaan.

"Inilah masalah bola sepak Malaysia, mereka lupa pasukan-pasukan (yang bertanding) adalah stakeholders. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan," katanya.

"Saya selalu nyatakan inilah masalah bola sepak Malaysia. Mereka terlalu fikirkan soal hendak ambil tindakan sampai terlupa pasukan itu adalah pihak berkepentingan.

"Jangan sampai saya buka mulut seperti TMJ (Tunku Mahkota Johor) , cukuplah beliau seorang mengkritik kepincangan FAM," katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama antara KAFA dan FC Bari 1908 di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, hari ini.


Jelas beliau, menghukum pasukan bukan jalan terbaik sebaliknya FMLLP perlu melakukan sesuatu untuk mengangkat martabat bola sepak negara menerusi etika pengurusan yang baik.

Justeru Annuar menyarankan agar FMLLP dan FAM duduk berbincang dengan KAFA untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu tersebut dan bukan membuat kenyataan secara terus kepada media.

Lima bekas pemain Kelantan yang masih belum menerima tunggakan gaji ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.


Tajuk asal - FAM, FMLLP ‘Perompak’, Annuar Cabar Bertindak Terhadap KAFA

No comments: