Wednesday, June 29, 2016

Mukhriz Sedang Celaru Hingga Jadi 'Nujum Pak Belalang'?


Kecelaruan politik menyebabkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir  mendakwa PAS mempunyai perjanjian dengan UMNO berkaitan pembahagian tiga negeri majoriti Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu?

Beliau dibidas oleh pemimpin PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah, sambil Menteri Besar Terengganu menyifatkan Mukhriz sebagai melakukan ‘propaganda buruk’.

Malah Presiden PAS, menafikan wujud perjanjian antara parti itu dengan UMNO membabitkan 'pertukaran' yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Hadi menyifatkan dakwaan Mukhriz adalah tidak benar sama sekali dan tidak boleh dipercayai.

“Berita palsu (tentang pertukaran itu). tidak ada perjanjian dan kita tidak pernah berbincang. PAS hanya akan bertanding (dalam pilihan raya umum) untuk dapatkan negeri-negeri itu,” katanya.

Semalam, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob menjelaskan, tiada sebarang kerjasama dengan UMNO mengenai penyerahan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada PAS pada pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Yakob
Beliau berkata jika adapun kerjasama hanya yang membabitkan perkara kebajikan dan kebaikan kepada rakyat.

“Setakat ini tiada sebarang perjanjian, cuma kita (PAS) akan beri kerjasama kepada pekara yang membawa kebaikan dan kebajikan kepada rakyat. Itu dasar kita sejak dahulu lagi. Dalam perkara yang menimbulkan dosa dan perseteruan sebagainya, kita tidak ada sebarang kerjasama,” katanya .

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata kemungkinan isu itu timbul disebabkan kecelaruan politik buat masa sekarang.

Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan pesuruhjaya PAS negeri Kedah menganggap apa yang diperkatakan oleh Mukhriz itu sebagai dakwaan sangat dangkal, berunsur fitnah dan hanya sebuah “propaganda buruk”.

Malah Mukhriz juga dianggap cuba memfitnah pemimpin di peringkat negeri yang disebutkan melalui spekulasi dan imaginasinya sendiri.

Mukhriz Ahad lalu (26 Jun 2016) menyifatkan hubungan 'panas' di antara PAS dan UMNO sebagai petanda awal Kedah bakal dilePASkan kepada parti Islam itu.


Menurutnya, pada masa sekarang, kelihatan seolah-olah UMNO bersedia untuk menyerahkan Kedah, Kelantan dan Terengganu kembali kepada PAS.


"Mesti ada perjanjian. Mereka cuba membawa PAS dan UMNO bersama. PASti juga ada pertukaran untuk PAS. Saya lihat Kelantan, Terengganu dan Kedah kembali kepada PAS," jelas bekas Menteri Besar Kedah itu ketika sidang media di Pusat Alumni Universiti Malaya.

Ditanya sama ada beliau merasakan ini akan membawa kepada sebuah kerajaan perpaduan bagi negeri-negeri, Mukhriz berkata ia akan menjadi seperti  'menyerah sepenuhnya'.

"Pada pendapat saya, ia bukan satu kerajaan perpaduan, saya rasa semua akan diserahkan sepenuhnya kepada mereka (PAS)," katanya.

Berikutan kenyataan itu Menteri Besar Terengganu,  Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Mukhriz sebagai andaian dan imaginasi Mukhriz semata-mata.

Malah Ahmad Razif menganggapnya sebagai spekulasi jahat tidak bersandarkan kebenaran untuk menimbulkan keresahan dalam parti.

Malah,  UMNO Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Besar Kedah itu.

 “UMNO Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti, tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang digerakkan.

“Sehubungan itu, saya meminta Mukhriz dan semua pihak tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi,” kata Ahmad Razif dalam kenyataan semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu menegaskan,  kini ahli UMNO sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.

PAS Kedah turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mukhriz  itu, malah PAS Kedah tidak pernah menghulur salam, menyambut usaha atau mengadakan perjanjian dengan UMNO seperti dimaksudkan Mukhriz sehingga seolah-olah pemerintahan boleh dipotong bahagi seperti kuih bengkang.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi (kiri)  menegaskan :“Sangkaan Adun Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengesyaki wujud perjanjian antara UMNO-PAS untuk membahagi negeri pemerintahan ialah tuduhan sangat dangkal dan ternyata berunsur fitnah.

“Selaku ahli politik, dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya daripada seorang yang pernah menjawat kedudukan menteri besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fakhruddin berkata mereka yang menjatuhkan Mukhriz daripada jawatannya sebagai menteri besar adalah kumpulan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa kelemahan pemerintahannya akan memberi peluang PAS meramPAS kembali negeri berkenaan.

“Tidak mungkin mereka yang membunuh politik Mukhriz  atas sebab itu tiba-tiba hendak melePASkan Kedah kepada PAS,” katanya.

Beliau berkata, parti itu tidak akan menjadikan jalan singkat, memperdayakan dan tipu muslihat untuk meramPAS kedudukan. “PAS juga tidak dayus untuk membiarkan UMNO terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan. Sebaliknya PAS mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya di mana PAS komited menentang UMNO/BN dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara. “ katanya.

PAS akan bertanding kerusi pilihan raya di mana saja UMNO bertanding hingga dapat menurunkan UMNO/BN dari tampuk pemerintahan negeri serta Putrajaya, katanya.

Berikutan itu beliau menasihatkan Mukhriz jangan lagi menjadi boneka atau nujum Pak Belalang,” katanya.

No comments: