Thursday, July 7, 2016

Rakyat Kelantan Makan Jeruk Buah Banyak Bahan Kimia


Jeruk buah-buahan khususnya dari negara jiran dilihat masih banyak berada di pasaran serta dijual secara berleluasa di negeri ini walaupun dikesan mengandungi ‘Sakarin’ iaitu serbuk hablur putih yang merupakan pemanis tanpa zat.

Meskipun langkah sekatan terhadap jeruk buah-buahan itu sudah dijalankan Jabatan Kesihatan Kelantan, namun jeruk yang mengandungi pemanis 300 kali ganda berbanding gula biasa itu, masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati ada pelbagai jeruk seperti mangga, cermai, betik, bawang putih dan sengkuang dijual antara RM5 dan RM7 sebotol.

Selain itu, jeruk ini juga banyak dijual di pasar malam atau pasar harian di seluruh Kelantan kerana permintaan yang agak tinggi.

Ada yang mendakwa buah-buahan jeruk itu enak kerana manis dan kelihatan segar serta tahan lama.

Peniaga Azizan Mohamad, 39, berkata ramai pengguna yang tahu kebanyakan jeruk dari negara jiran mempunyai kandungan pemanis sintesis yang tinggi tetapi kerana keenakannya mereka tetap membeli dan memakannya.

Azizan yang lebih 20 tahun menjual jeruk, berkata apa yang beliau faham, kesan sampingan jeruk dengan bahan itu ialah kepada mereka yang ada diabetis dan sebagainya.

Sementara itu, seorang pengguna, Robiah Musa, 48, berkata dia gemarkan jeruk terutama mangga dan betik kerana rasanya yang masam dan manis.

Katanya memang jeruk buatan negara jiran enak dan tidak sama dengan yang diproses di negeri ini.

“Orang ramai sudah pasti mahukan sesuatu yang lebih dalam makanan termasuklah terlebih manis dan perasa walaupun benda itu akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata pihaknya akan membuat pemantauan lebih kerap dan ketat di pintu masuk di sempadan bagi menghalang kemasukan jeruk buah-buahan ini.

Beliau berkata pihaknya terus berusaha meningkatkan aktiviti pemantauan keselamatan terhadap produk makanan di mana-mana sahaja bagi memastikan pengguna mendapat bekalan makanan yang lebih selamat.

“Kerjasama agensi lain di sempadan akan diperoleh khususnya penguat kuasa yang diberi tanggungjawab mencegah kegiatan penyeludupan,” katanya.

No comments: